Khamis, 7 Februari 2019 | 7:32pm

Kementerian Luar sahkan 47 warga Malaysia ditahan di Kemboja

PUTRAJAYA: Kementerian Luar mengesahkan laporan berhubung penahanan 47 rakyat Malaysia di Poi Pet, Bantey Meanchey, Kemboja sejak 11 Disember lalu atas pertuduhan menipu, membuka dan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara haram.

Kementerian Luar berkata, makluman penahanan itu hanya diterima secara lisan daripada pihak polis Bantey Meanchey pada 28 Disember lalu.

“Susulan itu, pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh sudah mengadakan lawatan konsular ke atas tahanan selepas mendapat maklumat yang lebih lengkap dan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan.

“Lawatan itu bertujuan memastikan kebajikan para tahanan terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Laporan sebelum ini menyebut seramai 47 warga Malaysia yang mencari pekerjaan di Kemboja ditahan pihak berkuasa negara itu selepas disyaki terbabit dalam kegiatan perjudian dalam talian.

Sumber memberitahu individu terbabit yang berusia antara 19 hingga 44 tahun ditahan sejurus mereka tiba di Poi Pet pada 11 Disember lalu.

Kata sumber, sebahagian besar individu yang ditahan dikenal pasti berasal dari Sabah dan Sarawak, dengan pemergian mereka ke negara itu dikendalikan sebuah agensi pekerjaan.

Kementerian Luar memaklumkan, tahanan menyatakan bahawa mereka ditawarkan pekerjaan dengan gaji yang lumayan di sana.

Katanya, pegawai Kedutaan Besar turut mengadakan pertemuan dengan pegawai penjara dan hakim yang mengendalikan kes berkenaan.

“Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh juga sudah membawa perkara ini kepada perhatian pihak Kementerian Luar Negeri Kemboja dan mengemukakan Nota Diplomatik supaya tahanan itu dibebaskan,” katanya.

Katanya, kementerian melalui Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh sedang memantau perkembangan kes itu dengan rapi dan bersedia menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya dari semasa ke semasa.

995 dibaca
Berita Harian X