Sabtu, 2 Februari 2019 | 10:20am
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. - Foto BERNAMA

Hukum segera individu hina Yang di-Pertuan Agong - MB Pahang

KUANTAN: Kerajaan Pahang menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dan segera terhadap individu menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di media sosial baru-baru ini yang menimbulkan kemarahan orang ramai.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata Kerajaan Pahang memandang serius penghinaan yang bukan sahaja biadap pada tahap paling buruk malah pengkhianat kepada kedaulatan institusi Raja-Raja.

Katanya, sehubungan itu Kerajaan Pahang menggesa pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas dan segera kepada sipelaku salah sebagai tindak balas kepada laporan polis dibuat berkaitannya.

“Dalam hal ini, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) diharap dapat turut membantu menjejaki pemilik akaun Facebook berkenaan serta menggunakan apa juga kuasa yang ada padanya untuk menghukum sipelaku.

“Untuk jangka panjang pula, Kerajaan Negeri mencadangkan undang-undang khusus dan lebih berat sepertimana undang-undang Les Majeste di Thailand, mula dibincang secara serius untuk akhirnya diperkenalkan di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Semalam, kira-kira 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), jabatan kerajaan dan parti politik di negeri ini membuat laporan polis berhubung tindakan seorang pengguna laman sosial Facebook yang didakwa menghina Al-Sultan Abdullah.

Antara yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan itu adalah Badan Kebajikan Kerabat-Kerabat Negeri Pahang, Pertubuhan Ikatan Amal Islami Negeri Pahang, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia Negeri Pahang, Pejabat Agama Daerah Kuantan dan UMNO Bahagian Kuantan.

Mereka mendakwa seorang pengguna yang menggunakan nama Facebook ‘Desmond Yongkor’ bertindak kurang ajar dengan memuat naik kata-kata yang menghina Yang di-Pertuan Agong ketika Istiadat melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan, Khamis lalu.

Berita Harian X