Jumaat, 1 Februari 2019 | 7:17pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Projek ECRL masih dalam rundingan

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) masih dalam rundingan dengan pihak berkaitan.

Perdana Menteri berkata, beliau masih tidak boleh memaklumkan status perkembangan projek berkenaan kerana masih menunggu keputusan rundingan itu.

“Saya tidak boleh cakap apa yang berlaku kerana masih tunggu keputusan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, hari ini.

Ditanya bila keputusan itu akan diumumkan, Dr Mahathir berkata secepat mungkin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan Reuters semalam yang mendakwa China menawarkan untuk mengurangkan hampir separuh kos pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai AS$20 bilion dalam usaha menyelamatkan mercu tanda projek pembangunannya di Asia Tenggara.

Ditanya sama ada beliau mahu menerima cadangan China bagi mengurangkan separuh kos ECRL, Dr Mahathir berkata beliau tidak mahu membuat “andaian secara hipotesis”.

Bagaimanapun, kenyataan bercanggah beberapa menteri Malaysia membuatkan hasil tawaran terbaru itu menjadi tanda tanya, sekali gus mendedahkan status ERCL dan cabaran politik serta diplomatik yang dihadapi kerajaan di bawah Dr Mahathir dalam rundingan semula kontrak terbabit.

Menurut sumber, China Communications Construction Co Ltd (CCCC) menawarkan untuk mengurangkan separuh kos pembinaan berjumlah RM67 bilion ringgit atau AS$16.39 bilion bagi jajaran landasan sepanjang 688 kilometer.

Pengurangan itu hanya bagi kos membabitkan pembinaan, tidak termasuk kos kadar faedah dan kos pengambilan tanah.

952 dibaca
Berita Harian X