Jumaat, 1 Februari 2019 | 2:22pm
PENGERUSI NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye bergambar bersama orang ramai pada Majlis Pengiktirafan Pencapaian EOSP daripada NIOSH di Petaling Jaya, hari ini. - Foto Rosela Ismail

PLUS terima pengiktirafan EOSP

PETALING JAYA: Syarikat konsesi lebuh raya, Plus Malaysia Berhad (PLUS) menjadi syarikat pertama memperoleh pengiktirafan pencapaian Pasport Keselamatan dan Operasi Lebuhraya (EOSP) oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) di sini hari ini.

Ini berikutan apabila 11,650 individu dan pihak berkepentingan di lebuh raya PLUS menamatkan Kursus Induksi Asas Keselamatan sekali gus memperoleh EOSP daripada NIOSH.

Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata pengiktirafan itu bukan saja membuktikan komitmen PLUS dalam hal ehwal berkaitan keselamatan dan kesihatan tetapi sentiasa memastikan ia menjadi keutamaan.

Katanya, beliau berbangga apabila PLUS merekodkan penurunan sehingga 75 peratus kadar kemalangan membabitkan pekerja di zon kerja.

“Sebelum EOSP diperkenalkan sebanyak 12 kematian direkodkan membabitkan pekerja di zon kerja pada 2017, berbanding hanya tiga kes pada tahun lalu,” katanya pada sidang akhbar Majlis Pengiktirafan Pencapaian EOSP daripada NIOSH di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi PLUS Malaysia, Tan Sri Datuk Mohd Sheriff Mohd Kassim dan Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail.

Lam Thye berkata walaupun kerajaan tidak mewajibkan EOSP, majikan perlu memastikan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dilaksanakan.

“Akta berkenaan antara lain memastikan tanggungjawab keselamatan dan kesihatan sewaktu bekerja dengan pemilik syarikat, tidak mengira sama ada kerja berkenaan dilakukan oleh pekerja hakiki syarikat atau pekerja kontraktor yang dilantik.

“Oleh itu saya berharap selepas ini 31 syarikat konsesi lebuh raya dapat mengikut jejak langkah dilakukan PLUS, pada masa sama memastikan keselamatan suatu budaya,” katanya.

Beliau turut menegaskan kemalangan dan insiden dikenal pasti akibat daripada kerja yang dijalankan kontraktor, di mana pekerja kontraktor gagal mematuhi peraturan atau tatacara kerja selamat yang digariskan.

Sementara itu, Azman berkata, PLUS memperkenalkan EOSP pada 2017 dan mewajibkan semua kontraktor, penyedia perkhidmatan atau kakitangan yang menjalankan aktiviti penyelenggaraan, projek pembinaan atau kerja rutin memperoleh EOSP sebelum boleh menjalankan kerja berkaitan di lebuh raya.

Katanya, individu yang menjalani kursus dan memperoleh EOSP mempunyai kesedaran keselamatan lebih tinggi dalam menjalankan tugas di lebuh raya.

“Kami turut juga berhasrat menambah baik modul EOSP seperti penambahbaikan Pelan Pengurusan Trafik, memperkenalkan Kenderaan Keselamatan serta Penyelesaian Berinovasi yang memfokus ke arah kematian sifar di lokasi berisiko tinggi.

“Ia secara tidak langsung memberi manfaat kepada pengguna lebuh raya secara amnya kerana risiko kemalangan di atas jalan raya atau perkara yang boleh mendatangkan bahaya dapat dikurangkan dari semasa ke masa,” katanya.

EOSP adalah kursus sehari dijalankan oleh NIOSH. Selain pengajaran, peserta turut didedahkan dengan aspek penilaian kerja.

Dalam perkembangan lain, Azman berkata PLUS menugaskan kira-kira 5,000 pekerja sepanjang musim perayaan ini bagi memastikan kelancaran perjalanan pengguna jalan raya.

Berita Harian X