Jumaat, 1 Februari 2019 | 12:21pm
MOHD Ridhuan Ismail. - Foto NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Pelarasan tarif baharu air wajar dilaksanakan

CYBERJAYA: Kadar tarif air wajar disemak semula dan dinaikkan di seluruh negara selepas sekian lama kekal pada kadar sama selain bagi memenuhi keperluan menyediakan air bersih terawat untuk dinikmati rakyat.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Mohd Ridhuan Ismail, berkata dengan pendapatan yang sama sejak 20 tahun lalu, syarikat operator air berdepan kesukaran untuk meningkatkan prestasi pengurusan dan penyenggaraan bekalan air terawat berkualiti.

“Bayangkan... gaji yang anda terima hari ini adalah sama dengan gaji semasa mula bekerja pada 20 tahun lalu. Mampukah anda bertahan sedangkan suasana kehidupan kini sudah jauh berbeza?

“Pastinya sukar. Begitu jugalah nasib majoriti syarikat operator air,” katanya.

Beliau memberitahu Bernama syarikat operator air terpaksa menanggung perbelanjaan mengikut harga pasaran semasa termasuk bagi pembinaan loji baharu yang membabitkan kos berdasarkan harga pada masa ini dan bukannya mengikut harga pada 20 atau 30 tahun lalu.

Negeri yang paling lama tidak menyemak atau menaikkan kadar tarif air pengguna domestik ialah Pahang yang kali terakhir melakukan semakan berkenaan adalah pada 1983 diikuti Perlis pada 1996 dan Terengganu pada 1997.

Kali terakhir Perak dan Selangor menaikkan tarif air masing-masing adalah pada 2006, Kedah (2010), Kelantan (2013), Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan Labuan dan Johor masing-masing pada 2015.

“Walaupun tarif air Negeri Sembilan dan Melaka dinaikkan pada 2015, ia sebenarnya hanya membabitkan pengguna komersial dan industri. Tarif untuk akaun domestik di kedua-dua negeri itu tidak disemak sejak 18 tahun lalu bagi Negeri Sembilan dan lapan tahun bagi Melaka,” jelasnya.

Walaupun baru dinaikkan, katanya, kadar tarif di dua negeri itu masih perlu disemak semula kerana kos operasi rawatan air bersih tidak lagi sama nilainya dengan 2015.

Bagi tarif industri pula, kali terakhir Pahang melakukan semakan adalah pada 1983, Perlis (1996), Terengganu (1997), Perak (2006), Selangor (2006), Kedah (2010), Kelantan (2013) serta Johor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan Labuan dan Melaka masing-masing pada 2015.

‘SUARA’ OPERATOR AIR

Awal Januari lalu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar dilaporkan berkata kadar tarif air mungkin dinaikkan secara berperingkat tahun ini selaras dengan usaha kerajaan untuk menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air negara.

Beliau berkata kenaikan tarif air terawat perlu dilaksanakan bagi menjaga kepentingan pengguna untuk mendapatkan air berkualiti serta menjamin industri tersebut dari sudut perkhidmatan.

Walaupun beliau memberi jaminan kenaikan itu tidak akan membebankan rakyat, namun pengumuman itu menjadi polemik dan perdebatan hangat dalam kalangan masyarakat termasuk beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang merasakan tarif air tidak harus dinaikkan berikutan kos sara hidup yang tinggi pada masa ini.

Mereka berpendapat kenaikan tarif itu juga akan mengundang pelbagai isu lain termasuk kenaikan harga barang oleh para peniaga tidak bertanggungjawab.

Hakikatnya, apa sahaja isu berkaitan kenaikan tarif sama ada air mahupun elektrik, ia adalah sensitif bagi rakyat dan boleh mencetuskan polemik politik.

Pada masa sama, operator air juga wajar menyuarakan pendapat mereka dan rakyat haruslah bersedia mendengar mengenai realiti berkaitan air sekiranya mahu menikmati bekalan air yang berkualiti.

Dengan tarif air yang amat rendah dan tidak pun sampai RM1 bagi setiap 1,000 liter air untuk kategori domestik, majoriti syarikat operator air negara ini sudah tidak mampu lagi berdepan cabaran masa depan dalam membekalkan air berkualiti tinggi dan mencukupi bagi memenuhi permintaan masyarakat sekiranya kadar tarif tidak disemak semula.

Ini kerana, purata kadar air yang dibayar pengguna domestik bagi setiap 1,000 liter air adalah RM0.52 sen berbanding negara-negara ASEAN lain seperti Singapura yang hampir mencecah RM4 dan Filipina kira-kira RM2.

ROKOK, AIR MINERAL

Mohd Ridhuan berkata rata-rata masyarakat mungkin tidak menyedari ‘nilai’ air paip terawat yang digunakan mereka.

“Masyarakat mungkin tidak tahu banyak mana 1000 liter air. Bayangkan, satu botol air mineral yang bersaiz 1.5 liter, kita beli kosnya kira-kira RM2.50 sedangkan air paip terawat dalam botol saiz yang sama untuk 1,000 botol kosnya adalah hanya 52 sen sahaja.

“Air mineral adalah lagi mahal sedangkan sebotol air mineral yang berharga RM2.50, kita boleh dapat hampir 4,000 liter air paip terawat. Itu belum dikira jika beli sekotak rokok berharga RM17 ke atas dan secawan kopi di kafe terkenal yang berharga sehingga lebih RM20.

“Kadang-kadang, harga sekotak rokok dan secawan kopi itu bersamaan dengan perbelanjaan bil air sebulan untuk satu isi rumah. Hasil kajian mendapati purata bil air domestik isi rumah di negara ini adalah antara RM14 hingga RM17 sebulan iaitu lebih murah berbanding sekotak rokok dan satu cawan kopi kafe terkenal,” katanya.

Agak menghairankan apabila sebahagian besar masyarakat tidak kisah untuk membelanjakan demi gaya hidup sedemikian tetapi berkira dalam perihal mendapatkan kualiti air bersih terawat.

Hal ini berlaku mungkin kerana kebanyakan daripada kita masih kurang memahami bahawa pengurusan, rawatan dan pembekalan air terawat berkualiti sememangnya menuntut sumber kewangan yang sangat tinggi.

Berdasarkan maklumat dalam Malaysia Water Industry Guide (MWIG) 2018, purata kos merawat dan mengagih setiap 1,000 liter air kepada pengguna domestik adalah RM2.31 namun purata harga yang dibayar pengguna untuk setiap 1,000 liter air bagi 20,000 liter pertama adalah RM0.52 sahaja.

Baki selebihnya perlu ditanggung oleh operator air dan itu belum lagi mengambil kira perbelanjaan melengkapkan industri dengan teknologi terbaharu termasuklah menambah baik loji rawatan mahupun menukar paip yang uzur.

MASALAH NRW

Mohd Ridhuan berkata sebanyak 27.3 peratus daripada paip yang ada sekarang adalah daripada jenis ‘asbestos’ yang dipasang sejak zaman merdeka lagi dan dilihat sudah tidak sesuai untuk digunakan kerana tidak mampu menampung tekanan air sehingga sering kali berlakunya masalah kebocoran atau paip pecah.

Dengan penukaran paip ‘asbestos’ kepada jenis yang berkualiti dan tahan lasak, ia diyakini dapat membantu mengurangkan Kadar Air Tidak Terhasil atau Non Revenue Water (NRW) yang berkaitan dengan kebocoran paip.

Kecurian air dan paip bocor adalah antara punca utama berlakunya NRW. Sebanyak 75 peratus daripada NRW di negara ini berpunca daripada situasi paip bocor dan pecah, justeru itu, memerlukan paip-pair uzur untuk diganti segera.

Beliau berkata pada masa ini, NRW negara mencatatkan 35.3 peratus dan kerajaan menyasarkan untuk mengurangkannya kepada 31 peratus menjelang 2020.

“Data MWIG 2018, menunjukkan paip ‘asbestos’ telah ditukarkan kepada paip yang berkualiti dan tahan lasak sepanjang 847 kilometer pada 2017. Namun, masih ada baki 41,560 kilometer paip ‘asbestos’ yang perlu diganti secara berperingkat.

“Masyarakat selalu mempertikaikan kualiti air yang kuning, kotor dan tidak sesuai diminum terus. Sebenarnya, air paip yang diproses di loji rawatan selamat diminum terus kerana ia memenuhi piawaian ditetapkan.

“Bagaimanapun, apabila ia disalurkan ke paip uzur yang mungkin bocor, ia menyebabkan bendasing masuk. Ini yang menyebabkan air paip harus dimasak dahulu sebelum diminum dan memastikan paip diganti,” katanya.

MEKANISME

Kewajaran menyemak kembali tarif dalam keadaan segera adalah disebabkan peningkatan permintaan bekalan air terawat.

Mohd Ridhuan berkata purata peningkatan bekalan air terawat adalah antara 2 hingga 5 peratus saban tahun berikutan pertambahan penduduk dan pembangunan baharu.

Berdasarkan data MWIG 2018, pembekalan air untuk seluruh negara adalah sebanyak 16,884 juta liter air sehari dengan Selangor (Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya) mencatatkan penerima bekalan air tertinggi iaitu 4,842 juta liter air sehari.

Beliau berkata kebanyakan loji ada masanya terpaksa beroperasi di luar kemampuan sebenar.

“Misalnya, kemampuan loji itu hanya mampu memproses sehingga 100 juta liter air sehari namun ‘dipaksa’ beroperasi dengan jumlah liter yang lebih tinggi sehingga 130 juta liter air sehari kerana perlu menampung permintaan.

“Lama-kelamaan, loji ini boleh rosak kalau tidak dinaiktarafkan disebabkan terpaksa bekerja lebih daripada kemampuan sepatutnya,” kata beliau.

Mohd Ridhuan berkata masyarakat sentiasa menginginkan tarif air yang rendah tetapi pada masa sama menuntut tahap perkhidmatan terbaik sedangkan kadar air pada masa ini adalah tidak mencukupi bagi operator air memenuhi permintaan semasa.

“Disebabkan itulah tarif air perlu disemak dan diselaraskan. Jika tidak disemak tarif dan kadar berterusan sama, saya tidak tahu berapa lama operator air dapat bertahan kerana mereka juga dibebani hutang.

“Situasi ini berisiko menjejaskan kualiti perkhidmatan operator air... krisis air juga boleh berlaku pada masa depan yang kelak menyebabkan bekalan air terawat mahupun margin simpanan air tidak mencukupi sehingga menyebabkan catuan air,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, SPAN yang ditubuhkan pada 2007 sebagai badan kawal selia bagi perkhidmatan bekalan air membabitkan air terawat di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan, kini dalam proses rundingan dengan beberapa kerajaan negeri untuk mendapatkan persetujuan semua pihak berhubung pelarasan tarif itu.

Pada masa sama, Mohd Ridhuan memberi jaminan bahawa kementerian melalui SPAN telah memperkenalkan mekanisme penetapan tarif air baharu telus bagi memastikan kadar kenaikan itu dilakukan secara terkawal dan melindungi kepentingan pengguna secara keseluruhannya. - BERNAMA

128 dibaca
Berita Harian X