Khamis, 31 Januari 2019 | 11:24am
ORANG ramai tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan keberangkatan Sultan Pahang ke Kuala Lumpur untuk melafaz sumpah dan menandatangani surat pengisytiharan memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong. - NSTP /Farizul Hafiz Awang

Tempuh perjalanan 150km demi Al-Sultan Abdullah

KUANTAN: Seawal jam 4 pagi, Afiq Haikal Mohd Nazeri dan 10 rakannya sanggup menempuh perjalanan hampir 150 kilometer (km) untuk ke Pangkalan Udara Kuantan di sini bagi melihat sendiri satu peristiwa yang bakal tercatat dalam sejarah negara.

Afiq Haikal, 21, dan rakan-rakannya itu yang tinggal di Kuala Krau, Temerloh membuat keputusan untuk bersama-sama rakyat Pahang yang lain mengucapkan selamat berangkat kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang ke ibu negara untuk menduduki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 hari ini.

“Kami berpakat untuk berkongsi duit minyak dan bayaran tol. Nasib baik ada rakan boleh meminjamkan van milik keluarganya walaupun keputusan untuk ke sini dibuat lewat malam tadi. Kami rasakan perlu untuk meraikan keberangkatan Tuanku kerana baginda sering mencemar duli ke kampung kami ketika banjir. Sekurang-kurangnya ini yang termampu kami lakukan untuk menghargai baginda,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Afiq Haikal antara ribuan rakyat Pahang yang berhimpun di Pangkalan Udara Kuantan seawal jam 6 pagi bagi meraikan keberangkatan Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar.

Al-Sultan Abdullah yang dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa hari ini, berlepas ke ibu negara untuk istiadat melafaz sumpah dan menandatangani surat pengisytiharan memegang jawatan di Istana Negara.

Sementara itu, dua murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Galing di sini M Kishore dan Karl Esqandar Khalid berkata mereka mula berkumpul di sekolah pada jam 6.30 pagi untuk menaiki bas ke Pangkalan Udara Kuantan.

Kishore, 12, berkata beliau bangun seawal jam 5 pagi dan meminta supaya dihantar ke sekolah lebih awal kerana bimbang ketinggalan bas.

“Cikgu kata peristiwa seperti ini bukan selalu berlaku dan hanya mereka yang bertuah sahaja boleh menyaksikan istiadat keberangkatan Yang di-Pertuan Agong. Saya rasa ini kali pertama saya melihat Al-Sultan Abdullah secara live (langsung),” katanya.

Bagi ahli perniagaan Ashok Sinnathamby, 40, pemilihan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 amat membanggakan rakyat Pahang dan berharap baginda dapat menjalankan tugas baharu dengan cemerlang.

Menurutnya, walaupun berasa bangga namun pada masa yang sama komuniti India di Pahang berasa sayu kerana baginda memang dikenali sangat rapat dengan komuniti India di negeri ini.

“Al-Sultan Abdullah sangat terbuka dalam pergaulannya dengan semua kaum. Baginda juga sering hadir ke majlis dan upacara tradisional kaum India di sini,” katanya.

Shaiful Anuar, 41, guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abu Bakar Kuantan berkata beliau dan 39 pelajar telah hadir seawal 6 pagi lagi bagi menunjukkan sokongan kepada Al-Sultan Abdullah.

“Pada masa yang sama kita mahu menerap semangat cintakan negara dan institusi beraja dalam kalangan pelajar-pelajar supaya budaya ini dapat diteruskan pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu di Istana Abdulaziz, Bandar Indera Mahkota di sini, murid sekolah dan penduduk dari kawasan berhampiran tidak ketinggalan berada di luar perkarangan istana berkenaan untuk mengucapkan selamat berangkat kepada pasangan diraja yang sememangnya disayangi rakyat Pahang.

Bagi Nazrolfazri Mahmod, 40, dari Taman Astana Permai, Indera Mahkota, walaupun merasa bangga dengan pemilihan Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong, namun tetap terselit perasaan sayu apabila selepas ini tiada lagi kelibat Al-Sultan Abdullah menunaikan solat Subuh di Masjid Al-Imam Ash-Shafie Kotasas.

“Jam 6.30 pagi lagi saya sudah sampai untuk ucap selamat tinggal kepada Tuanku. Al-Sultan Abdullah merupakan seorang yang rendah diri, dan rajin menunaikan solat Subuh di masjid berhampiran dengan istana baginda, selain bertanggungjawab serta prihatin dengan masyarakat setempat menyebabkan Sultan Abdullah amat dihormati oleh rakyat.

“Pagi tadi Tuanku semasa berangkat meninggalkan Istana Abdulaziz, baginda sempat melambai dan berkata ‘bye-bye’ kepada kami yang menunggu di luar istana, tetapi sayangnya saya pula terlupa ingin mengambil gambar detik berkenaan,” katanya. – BERNAMA

Berita Harian X