Khamis, 31 Januari 2019 | 10:32am
PERARAKAN masuk Kawalan Kehormat dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), sempena majlis istiadat Keberangkatan Tiba, Istiadat Melafaz Sumpah Jawatan dan Menandatangani Surat Memegang Jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Dataran Parlimen. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
PERARAKAN masuk Kawalan Kehormat dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), sempena majlis istiadat Keberangkatan Tiba, Istiadat Melafaz Sumpah Jawatan dan Menandatangani Surat Memegang Jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Dataran Parlimen. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Tiupan nafiri sambut ketibaan Agong

KUALA LUMPUR: Tiupan nafiri menyambut keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah di Dataran Parlimen di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba baginda bersama Raja Permaisuri Agong, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar pada jam 10.07 pagi, disambut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Istiadat keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong itu disambut tiupan nafiri oleh 14 anggota Kor Armor Diraja, sebelum Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berangkat naik ke Peterana Diraja, melintasi pasukan pengawal tombak.

Baginda kemudian dipersembahkan dengan Hormat Diraja oleh kawalan kehormatan utama, dengan iringan lagu Negaraku yang dimainkan Pasukan Pancaragam Pusat RAMD pimpinan Kapten Nor Azizan Yahaya.

Serentak itu, panji-panji Yang di-Pertuan Agong dikibarkan, berserta 21 das tembakan meriam yang dilaksanakan oleh pasukan 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat), diketuai Mejar Mohd Izham Ahmad Rashidi.


TUN Dr Mahathir diiringi Dr Wan Azizah menerima tabik hormat dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), sempena Keberangkatan Tiba, Istiadat Melafaz Sumpah Jawatan dan Menandatangani Surat Memegang Jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Dataran Parlimen. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Baginda seterusnya mencemar duli memeriksa kawalan kehormatan utama yang berkekuatan empat pegawai dan 103 anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Istiadat disusuli dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah kemudian berangkat ke Istana Negara untuk istiadat melafaz sumpah jawatan dan menandatangani surat memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Istiadat di Balairung Seri, Istana Negara itu diadakan di hadapan Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja2 Ke-252 (Khas), dan dengan pengisytiharan itu, Al-Sultan Abdullah secara rasminya menduduki takhta Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh lima tahun.

Mesyuarat khas juga akan menyaksikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, mengangkat sumpah jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.

Perisytiharan Al-Sultan Abdullah itu adalah susulan peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15 pada 6 Januari lalu, selaras Perkara 32 (3) Perlembagaan Persekutuan, selepas baginda bersemayam di Istana Negara sejak 13 Disember 2016.

Susulan peletakan jawatan itu, Al-Sultan Abdullah dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam pada 15 Januari lalu menggantikan ayahandanya, Sultan Ahmad Shah, yang membolehkan baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 berdasarkan sistem giliran negeri yang menjadi tradisi pemilihan Yang di-Pertuan Agong.

Pelantikan Al-Sultan Abdullah kemudian diputuskan ketika mesyuarat khas Majlis Raja-Raja pada 24 Januari lalu, dipengerusikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, yang turut turut memilih Sultan Nazrin sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

698 dibaca
Berita Harian X