Khamis, 31 Januari 2019 | 8:08am
ORANG ramai mula memenuhi Pangkalan Udara TUDM Kuantan, untuk menyaksikan keberangkatan Sultan Pahang ke Kuala Lumpur untuk melafaz sumpah dan menandatangani surat Pengiyshtiharan memegang jawatan Yang Dipertuan Agong. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

Rakyat Pahang iringi keberangkatan Al-Sultan Abdullah, Tunku Azizah ke ibu negara

KUANTAN: Perasaan sayu bercampur bangga jelas terpamer di wajah rakyat jelata yang mengiringi keberangkatan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar ke ibu negara hari ini.

Pasangan diraja itu berangkat meninggalkan negeri itu untuk menggalas tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong susulan pemilihan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas), 24 Januari lalu.

Al-Sultan Abdullah akan berangkat menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-252 (Khas) diikuti dengan Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan serta pengisytiharan memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 di Istana Negara hari ini.


ORANG ramai mula memenuhi Pangkalan Udara TUDM Kuantan, untuk menyaksikan keberangkatan Sultan Pahang ke Kuala Lumpur untuk melafaz sumpah dan menandatangani surat Pengiyshtiharan memegang jawatan Yang Dipertuan Agong. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

Seawal 5.30 pagi lagi, ribuan rakyat jelata terdiri daripada pelbagai kaum serta lapisan umur berdiri di luar Istana Abdulaziz, Bandar Indera Mahkota, di sini dan Pekarangan Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Kuantan untuk mengucap selamat tinggal kepada baginda dan Tunku Azizah.

Terdahulu, baginda berdua yang memakai persalinan sedondon berwarna biru firus berangkat dari Istana Abdulaziz pada jam 7.10 pagi dengan diiringi Tengku Mahkota Pahang yang juga Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah.

Turut sama mengiring Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah selaku menteri pengiring.

Kenderaan yang membawa baginda berdua tiba di Pangkalan Udara Kuantan kira-kira setengah jam kemudian disambut dengan laungan ‘Daulat Tuanku’ oleh rakyat jelata yang berdiri di kiri dan kanan jalan berkenaan sambil mengibar Jalur Gemilang dan bendera negeri Pahang.

Istiadat Memuliakan Keberangkatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong itu dimulakan dengan 'Hormat Diraja' dan disusuli lagu Negaraku oleh Pasukan Pancaragam TUDM, Pangkalan Udara Kuala Lumpur.

Serentak dengan itu, sebanyak 21 das Tembakan Meriam Kehormatan dilepaskan.

Al-Sultan Abdullah kemudiannya berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota TUDM yang diketuai Mejar Abdul Nasir Abdul Majid.

Sebaik selesai, Kawalan Kehormatan Utama kemudiannya mempersembahkan 'Hormat Diraja' sekali lagi sebelum lagu Negaraku dimainkan.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman kemudian membacakan doa selamat memohon keberkatan agar perjalananan baginda berdua dirahmati Allah sebelum baginda berdua bersalaman dengan dif-dif kehormat, pegawai tinggi kerajaan untuk mengucapkan selamat tinggal.

Pasangan diraja itu kemudiannya menaiki kenderaan khas sambil melambai mesra ke arah rakyat jelata yang mengambil kesempatan cuti umum pada hari ini untuk berkumpul merafak sembah hormat kepada baginda berdua yang berlepas menaiki pesawat khas ke ibu negara.

Melaungkan Allahu Akbar dan Daulat Tuanku serta sambil mengibarkan bendera Pahang dan Jalur Gemilang, ada kalangan rakyat pelbagai kaum serta lapisan umur mengambil kesempatan merakam detik keberangkatan Seri Paduka berdua menggunakan telefon bimbit masing-masing.

Terpancar keceriaan di wajah Seri Paduka berdua dan semasa menaiki pesawat, detik akhir sebelum melangkah masuk Al-Sultan Abdullah sempat melayangkan ‘isyarat ciuman’ kepada khalayak.

Pesawat khas yang membawa Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berlepas pada 8.34 pagi untuk penerbangan kira-kira 45 minit ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang. -- BERNAMA

1348 dibaca
Berita Harian X