Khamis, 31 Januari 2019 | 1:25am
Anggota dari Kompeni Ke-4 Polis Tentera Diraja (Mekanize) berpangkalan di Kem Batu 10 menaikkan bendera peribadi Yang di-Pertuan Agong di kediaman rasmi Al-Sultan Abdullah di Istana Abdulaziz tepat jam 12 tengah malam tadi. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal
Anggota dari Kompeni Ke-4 Polis Tentera Diraja (Mekanize) berpangkalan di Kem Batu 10 menaikkan bendera di Istana Abdulaziz tepat jam 12 tengah malam tadi. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal

Bendera peribadi Yang di-Pertuan Agong dinaikkan di Istana Abdulaziz

KUANTAN: Bendera peribadi Yang di-Pertuan Agong dinaikkan di kediaman rasmi Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah di Istana Abdulaziz di sini tepat jam 12 tengah malam tadi.

Bendera itu dinaikkan seorang pegawai dan dua anggota dari Kompeni Ke-4 Polis Tentera Diraja (Mekanize) berpangkalan di Kem Batu 10, di sini sambil diiringi lagu ‘Negaraku’ yang dimainkan pancaragam dari Pusat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuala Lumpur.

Terdahulu, tepat jam 11.45 malam bendera peribadi Sultan Pahang diturunkan oleh seorang pegawai dan 13 anggota Provos TUDM Kuantan.

Al-Sultan Abdullah akan melafaz sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Balairung Seri, Istana Negara, Kuala Lumpur, dengan disaksikan Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-252 (Khas) seperti termaktub dalam Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan.

Terdahulu, istiadat memuliakan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong dan dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Istana Abdulaziz akan bermula jam 6.30 pagi ini.

Istiadat berkenaan dimulakan dengan ketibaan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah; Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan EXCO kerajaan negeri.

Baginda kemudiannya berangkat ke Pangkalan Tentera Udara di sini pada jam 7 pagi dan dijangka disambut dengan Kawalan Kehormatan Utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM)yang mempersembahkan ‘Hormat Diraja’ lagu Negaraku.

Tembakan Meriam Kehormatan sebanyak 21 das akan dilakukan ATM sebelum Ketua Pasukan Kawalan Kehormatan tampil memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi memeriksa kawalan kehormatan.

Kawalan Kehormatan Utama akan mempersembahkan ‘Hormat Diraja’ lagu Negaraku buat kali kedua dan selepas itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman, akan membacakan doa.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Mainunah kemudian akan menaiki pesawat khas untuk berangkat ke Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 7.50 pagi.

Setibanya di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 8.30 pagi, baginda akan disambut oleh Pengerusi Majlis Rasmi Kerajaan, Datin Seri Norizam Che Mohd Nor dan barisan pegawai kanan kerajaan sebelum menaiki kenderaan menuju ke Dataran Parlimen kira-kira jam 8.50 pagi.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah bersama Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan suami, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyambut ketibaan baginda yang dijangka tiba di Dataran Parlimen kira-kira jam 9.30 pagi.

Tiupan nafiri akan mengiringi baginda menuju ke pentas diraja sambil diiringi Pasukan Pengawal Tombak, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan menteri pengiring.

Kawalan Kehormatan Utama akan mempersembahkan ‘Hormat Diraja’ (lagu Negaraku dimainkan) oleh Pancaragam ATM, serentak itu bendera peribadi Yang Dipertuan Agong ‘dipecahkan’ (dari kedudukan berlipat di tiang kepada berkibar) di sebelah kanan pentas diraja dan tembakan meriam 21 das dimulakan.

Ketua Kawalan Kehormatan kemudian akan tampil menghadap memohon perkenan baginda memeriksa kawalan kehormatan utama, diikuti memberi perintah ‘kalih senjata’ untuk menukarkan senjata ke tangan kiri dan bersedia bagi bacaan doa yang akan disempurnakan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Selepas itu, baginda akan berangkat ke Istana Negara dengan menaiki kereta diraja pada jam 10 pagi untuk mengangkat sumpah.

Berita Harian X