Rabu, 30 Januari 2019 | 9:24pm
BH dan HM masing-masing mencatatkan kedudukan pertama dan kedua bagi jumlah pengunjung unik bulanan portal berita.

BH, HM catat jumlah pengunjung portal tertinggi

KUALA LUMPUR: Berita Harian (BH) dan Harian Metro (HM) masing-masing mencatatkan kedudukan pertama dan kedua bagi jumlah pengunjung unik bulanan portal berita menerusi kandungan mudah alih terbanyak, sekali gus melonjakkan Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) mengatasi Google dan Facebook sebagai pilihan paling popular dalam kalangan pengguna di Malaysia.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan firma pengukur dunia digital, ComScore Inc, BH dan HM masing-masing merekodkan jumlah pengunjung unik sebanyak 4.78 juta dan 4.39 juta, menjadikan The New Straits Times Press (NSTP), anak syarikat MPB sebagai sumber berita utama masyarakat menerusi sesawang mudah alih (mobile web) dan aplikasi (app).

MPB merekodkan kedudukan teratas bagi jumlah audiens pada bulan Disember 2018 di Malaysia iaitu seramai 13.6 juta pengunjung unik, sekali gus mencatatkan peningkatan sebanyak 62 peratus dari Disember 2017.

Ini diikuti oleh Google Sites dengan jumlah 12.95 juta pengunjung unik serta Facebook yang mencatatkan seramai 12.92 juta pengunjung unik.

Pencapaian terbabit jelas menunjukkan kejayaan usaha transformasi MPB untuk menjadi sebuah syarikat kandungan digital dan perdagangan utama, malah peningkatan pesat dalam capaian digital yang disumbang oleh pelaksanaan strategi digital utama seluruh kumpulan berjaya membawa manfaat kepada anak syarikat lain termasuk REV Asia Holdings (REV Asia) dan Ripple.

Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Datuk Kamal Khalid, berkata sebagai kumpulan media terbesar di Malaysia, MPB berkebolehan menarik jumlah audiens yang ramai dalam kalangan pengguna peralatan telefon pintar dan peralatan komunikasi mudah alih (mobile devices).

“Ini adalah kali pertama syarikat media tempatan berjaya mengatasi syarikat media terbesar global di Malaysia, sekali gus membuktikan strategi digital yang dilaksanakan berjaya membawa hasil.

“Ia juga memberi peluang kepada MPB untuk menarik pengiklan yang ingin berhubung kepada audiens yang ramai secara digital melalui peralatan komunikasi mudah alih.

“Selain itu, data yang diperoleh juga mengesahkan bagaimana telefon pintar semakin menjadi sebahagian daripada kehidupan harian, dan kita akan terus melabur dalam mengembangkan pertumbuhan segmen kandungan digital ini,” katanya.

Portfolio REV Asia meluas dengan jenama popular antaranya SAYS, OhBulan!, Rojaklah, Viral Cham, 8coin, Sirap Limau, MyResipi, Kongsi Resipi, dan JUICE danportal berita sosial Bahasa Melayu popular, The Vocket selain jenama berita digital baharu, Mashable Southeast Asia dan media portal berita serta kandungan terkenal berbahasa Cina, TanTanNews.

Evolusi Rangkaian Radio Media Prima kepada Ripple juga sudah membuka peluang untuk berhubung dengan audiens melalui pengenalan tujuh aset digital baharu iaitu Dhia, Donna, Lunaria, TheLaki, Likely, Chapters, dan Wakeke.

Sasarannya adalah untuk berhubung melalui sinergi media digital, radio penyiaran dan dagang.

Sehingga kini, Ripple memiliki komuniti digital yang besar termasuk 10 juta pengikut sosial media, 3.2 juta pendengar digital secara purata, dan 283 juta jumlah tontonan digital.

3456 dibaca
Berita Harian X