Rabu, 30 Januari 2019 | 5:33pm
EXCO Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Mohd Aizuddin Ariffin. - Foto ihsan PKR Kedah

Jangan polemikkan ECRL

ALOR SETAR: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) tidak seharusnya menjadi polemik yang boleh mencalarkan pentadbiran kerajaan, sebaliknya keputusan mengenai pelaksanaan projek itu harus dimuktamadkan secara bijaksana.

EXCO Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Mohd Aizuddin Ariffin, berkata jika kerajaan bertekad mahu meneruskan ECRL, ia boleh dilaksanakan tanpa pembabitan negara China bagi menjimatkan kos dengan mewujudkan tender terbuka dalam kalangan kontraktor tempatan.

Namun, pada masa sama, katanya, kerajaan juga harus realistik dengan mewujudkan situasi menang-menang bersama China melalui ECRL ekoran komitmen yang sudah ditunjukkan syarikat dari negara itu sebelum ini, bagi memelihara hubungan diplomatik antara kedua negara.

“Negara diyakini mempunyai kepakaran tempatan yang mencukupi dalam industri rel untuk menjayakan ECRL, sekali gus membolehkan projek itu mampu dizahirkan tanpa kebergantungan sepenuhnya terhadap syarikat China semata-mata.

“Kita memahami keadaan kekangan kewangan negara, namun projek ini boleh dilaksanakan secara fasa dengan mewujudkan beberapa pakej utama termasuk membahagikan pakej kepada China dan kontraktor tempatan.

“Ini kerana kita mempunyai kepakaran yang cukup dalam industri rel dan saya percaya dengan kemampuan rakyat tempatan selain kerjasama teknologi serta kepakaran luar, kos pembinaan ini akan menjadi jauh lebih murah daripada RM81 bilion,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan dibuat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bahawa keputusan penamatan projek ECRL diterajui China Communications Construction Group Ltd (CCCC) belum lagi muktamad.

Ia berikutan wujudnya beberapa perubahan terhadap perkembangan projek dengan jajaran sepanjang 688.3 kilometer (km) itu, sekali gus memerlukan rundingan lanjut membabitkan pihak berkaitan.

Sebelum ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dilaporkan berkata projek ECRL ditamatkan menerusi mesyuarat Kabinet pada 24 Januari lalu.

Susulan itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pula dilaporkan terkejut dengan kenyataan Mohamed Azmin, selain menegaskan bahawa pendirian muktamad kerajaan berhubung status projek terbabit akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat.

Pada masa sama, Mohd Aizuddin berkata pelaksanaan ECRL disifatkan selari dengan aspirasi kerajaan untuk mewujudkan satu juta peluang pekerjaan seperti yang termaktub dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Katanya, selain itu apa yang lebih penting ialah pemindahan teknologi dan pengetahuan melalui pelaksanaan ECRL dapat dimanfaat oleh rakyat khususnya dari negeri di Pantai Timur.

“Kelantan, Pahang dan Terengganu harus menikmati kepesatan pembangunan, malah limpahan ekonomi negara juga harus dirasai bagi mengelakkan mereka ketinggalan, ” katanya.

Berita Harian X