Selasa, 29 Januari 2019 | 8:52pm
PRESIDEN ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah pada majlis penyerahan sumbangan ANGKASA kepada Tabung Kemanusiaan Rohingya Media Prima di Dewan Dato' Mohd Ali Baharum, Wisma Ungku Aziz. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin

ANGKASA perkenal BA100 bantu ringan beban sara hidup

KELANA JAYA: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) akan memperkenalkan Barang Asas 100 (BA100), satu program yang menawarkan produk pada harga antara 10 hingga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran bagi membantu meringankan beban pengguna.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah, berkata BA100 yang membabitkan barangan kawalan, seperti minyak masak dan gula, dijangka akan diperkenalkan pada Mei depan.

Katanya, ANGKASA kini dalam peringkat membangunkan sistem bagi melancarkan proses belian sebagai pelaksanaan program berkenaan.

“ANGKASA akan bertindak sebagai jalan pintas kepada orang tengah kerana kita membeli secara pukal daripada pengilang atau pengusaha.

“ANGKASA percaya harga barang pengguna yang tinggi di pasaran ketika ini berpunca daripada pelbagai lapisan, sebelum ia menemui pengguna menyebabkan produk sampai ke tangan pengguna dengan harga tinggi,” katanya,

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan RM92,040.20 kepada Tabung Kemanusiaan Rohingya Media Prima, di sini hari ini.

Sumbangan disampaikan Abdul Fattah kepada Pengarang Kumpulan BH, Khaidir Majid.

Abdul Fattah berkata, BA100 membabitkan kira-kira 3,000 koperasi di negara ini.

“Usaha ini dilakukan berikutan arahan kerajaan dalam mengurangkan beban pengguna.

“Produk berkenaan boleh dibeli ahli koperasi dan orang ramai,” katanya.

BA100 akan melalui proses percubaan pada Mac dan dijangka akan boleh beroperasi sepenuhnya pada Mei, iaitu sebelum Ramadan ini.

523 dibaca
Berita Harian X