Selasa, 29 Januari 2019 | 8:22pm
PRESIDEN ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin
PRESIDEN ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah (enam dari kiri) menyerahkan cek sumbangan ANGKASA kepada Tabung Kemanusiaan Rohingya Media Prima kepada Pengarang Kumpulan Berita Harian, Muhammad Khaidir A Majid (empat dari kiri) di Dewan Dato' Mohd Ali Baharum, Wisma Ungku Aziz. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin

ANGKASA sumbang kepada Tabung Kemanusiaan Rohingya Media Prima

KELANA JAYA: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menyerahkan sumbangan sebanyak RM92,040.20 kepada Tabung Kemanusiaan Rohingya Media Prima hari ini.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah, berkata penyerahan sumbangan itu selari dengan prinsip ANGKASA iaitu prihatin kepada masyarakat.

Katanya, program kutipan sedemikian bukan saja membantu pelarian Rohingya, sebaliknya turut diadakan apabila berlaku malapetaka dan bencana seperti taufan di Filipina dan gempa bumi di Sulawesi, Indonesia baru-baru ini.

“Sumbangan diperoleh daripada ahli koperasi dan koperasi di seluruh negara.

“Memang kita selalu hulur sumbangan, sebagai sebahagian daripada semangat kemanusiaan dan kita akan buat secara spesifik, untuk sesuatu misi bantuan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Rohingya Media Prima, di sini hari ini.

Sumbangan disampaikan Abdul Fattah kepada Pengarang Kumpulan BH, Khaidir Majid.

Yang turut hadir, Naib Presiden ANGKASA, Datuk Mohamad Ali Hasan.

Sementara itu, Khaidir berkata Tabung Kemanusiaan Media Prima sudah mengumpul lebih RM761,000 sejak ditubuhkan pada November 2016.

Katanya, wang sumbangan itu akan disalurkan kepada badan bukan kerajaan di negara ini khususnya Mercy Malaysia yang melakukan misi bantuan perubatan dan kemanusiaan di Myanmar.

“Mercy Malaysia sudah gunakan wang ini dalam kerja pembinaan klinik di Rakhine, Myanmar, ” katanya.

Berita Harian X