Selasa, 29 Januari 2019 | 4:42pm
MENTERI Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin pada sidang media di kementeriannya di Putrajaya, hari ini. - Foto BERNAMA

142,000 ketua isi rumah e-Kasih gagal daftar bil elektrik percuma

PUTRAJAYA: Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) menggesa 142,000 miskin tegar dan miskin di bawah e-Kasih mendaftar dengan syarikat utiliti bagi menerima bil elektrik secara percuma sehingga RM40 sebulan.

Menterinya, Yeo Bee Yin, berkata kerajaan menyasarkan seramai 208,800 ketua isi rumah e-Kasih menerima bantuan ini, namun setakat ini hanya sebanyak 66,600 yang mendaftar.

Menurutnya, dua faktor utama kegagalan mendaftar adalah disebabkan tidak mempunyai nombor akaun bil elektrik yang didaftar atas penama lain dan tinggal di rumah sewa atas nama tuan rumah.

"Semua ketua masyarakat membabitkan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu bersikap proaktif bagi membantu golongan e-Kasih di kawasan masing-masing untuk membuat pendaftaran supaya mereka dapat menikmati bantuan ini," katanya pada sidang media berhubung maklumat terkini program rebat bil elektrik RM40 bersasar kepada golongan miskin dan miskin tegar di kementeriannya di sini hari ini.

Program bantuan kerajaan secara bersasar khusus kepada keluarga miskin tegar dan miskin yang berdaftar dan disahkan dalam sistem e-Kasih itu diumumkan kerajaan dalam Belanjawan 2019, 2 November lalu.

1140 dibaca
Berita Harian X