Isnin, 28 Januari 2019 | 5:34pm
MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin (dua dari kiri) hadir pada Majlis Pelancaran DRN 2018-2025 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Kerajaan rangka Dasar Perumahan Mampu Milik Negara untuk B40

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan merangka Dasar Perumahan Mampu Milik Negara (DRMM) yang pertama seumpamanya dalam usaha mewujudkan rumah mampu milik yang kondusif kepada kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata DRMM yang menjadi sub kepada Dasar Perumahan Negara (DRN) 2018-2025) itu, akan menggariskan spesifikasi dan panduan kepada pemaju untuk pembangunan rumah mampu milik.

Katanya, antara intipati DRMM adalah menetapkan keluasan minimum rumah mampu milik di negara ini pada 900 kaki persegi.

Selain itu, katanya, harga rumah mampu milik, sama ada dibina kerajaan, kerajaan negeri atau pemaju swasta, ditetapkan pada RM90,000 hingga RM300,000, bergantung pada lokasi dan purata pendapatan masyarakat setempat.

“DRMM ini kita tekankan keluasan rumah sekurang-kurangnya 900 kaki persegi berserta kemudahan, serta beberapa kaedah untuk pemaju supaya mereka mampu bina rumah berdasarkan spesifikasi yang kita tetapkan untuk golongan B40.

“Menerusi dasar ini juga, kita tubuhkan Majlis Perumahan Mampu Milik Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri dan sudah bermesyuarat pada 8 Januari lalu bersama Menteri Besar, Ketua Menteri dan Exco Perumahan negeri.

“Majlis ini juga sedang meneliti untuk memperkenalkan satu lagi aspek untuk pembinaan rumah mampu milik, iaitu menggunakan tanah wakaf,” katanya pada Majlis Pelancaran DRN 2018-2025 di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah; Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Mohammad Mentek dan Ketua Pengarah Perumahan Negara, KN Jayaselan.

Terdahulu, DRN yang dilancarkan menggariskan lima fokus, 16 strategi dan 57 pelan tindakan sebagai panduan pembinaan rumah yang sistematik serta mengambil kira isu semasa bagi pembangunan perumahan di peringkat persekutuan, negeri dan swasta.

Antara pembaharuan dalam DRN adalah meletakkan Perbadanan PRIMA Malaysia, Program Perumahan Penjawat Malaysia (PPAM) dan Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Selain itu, semua projek baharu perumahan awam dan swasta akan diwajibkan untuk mendapatkan Sijil Penilaian Kualiti Dalam Pembinaan Bangunan (QLASSIC), selain memastikan peralihan sistem Jual-Kemudian-Bina (JKB) kepada Bina-Kemudian-Jual (BKJ).

Akta Sewaan Kediaman juga akan digubal bagi melindungi kepentingan pemilik rumah dan penyewa, selain turut mengatasi isu diskriminasi penyewa serta bakal menyentuh mengenai kuota perumahan Bumiputera.

Mengulas komitmen kerajaan membina satu juta rumah dalam 10 tahun, Zuraida berkata, pihaknya yakin dapat membina 100,000 rumah setiap tahun, dengan 61,000 rumah dibina kerajaan, selebihnya kerajaan negeri dan swasta.

Mengenai sama ada DRN menggariskan bantuan kewangan kepada B40 untuk memiliki rumah mampu milik, Zuraida berkata, satu inisiatif akan dilancarkan bersama Bank Negara Malaysia (BNM) esok.

“Kita akan lancar tabung RM1 bilion yang ditempatkan dengan BNM untuk membantu golongan B40 dalam mendapatkan pinjaman dan deposit,” katanya.

Ditanya kesediaan kerajaan turut membantu golongan berpendapatan 40 peratus pertengahan (M40) memiliki rumah memandangkan mereka terbeban dengan cukai, Zuraida berkata perancangan ketika ini terarah kepada B40.

“M40 belum terdesak sangat lagi, jadi kita buat untuk B40 dahulu,” katanya.

Terdahulu, Zuraida menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan Rumah Transit Belia KPKT dan Rumah Mampu Milik antara kerajaan diwakili Mohammad, dengan dua syarikat pembinaan iaitu Kery Sdn Bhd dan Tisy Sdn Bhd.

1067 dibaca
Berita Harian X