Ahad, 27 Januari 2019 | 7:10pm
Anthony Loke diberi penerangan oleh pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengenai tahap keselamatan tayar bas pada lawatan kerja ke Terminal Bersepadu Selatan. - NSTP/Saifullizan Tamadi

267 bas tambahan sempena Tahun Baharu Cina

KUALA LUMPUR: Sebanyak 267 bas tambahan disediakan Di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) untuk kemudahan orang ramai pulang ke kampung pada musim perayaan Tahun Baharu Cina (TBC) bulan depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata jumlah itu membabitkan 119 syarikat pengendali bas yang memohon mendapatkan Lesen Perubahan Sementara (LPF) untuk tempoh 10 hari bermula 1 hingga 10 Februari.

Katanya, jumlah itu diyakini mampu menampung pertambahan jumlah pengguna perkhidmatan bas yang dijangkakan meningkat sehingga 18,000 hingga 19,000 orang sepanjang waktu puncak itu berbanding 16,000 orang pada hari biasa sekitar.

“Kebiasaannya pada musim perayaan, permintaan untuk bas memang tinggi kerana ramai orang terutama golongan B40 yang menggunakan bas untuk pulang ke destinasi masing-masing.

“Justeru, tahun ini kita menyediakan 267 bas tambahan dengan 1,000 trip pelepasan dan ketibaan di terminal setiap hari. Kita harap ia mencukupi,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke TBS di sini, hari ini.

Sebanyak 19 kaunter tiket turut dibuka sebagai tambahan kepada 70 kaunter sedia ada untuk kemudahan orang ramai.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya membenarkan surcaj sebanyak 10 peratus dikenakan kepada penumpang bagi tambang tiket sepanjang tempoh terbabit.

Katanya, caj itu bukan baru tetapi sudah lama dilaksanakan bagi menampung kos yang ditanggung oleh syarikat pengendali bas termasuk kos pemandu tambahan.

Dalam pada itu, Loke berkata pihaknya berpuas hati dengan kemudahan disediakan di terminal berkenaan terutama operasi sistem tiket bersepadu yang bukan saja memudahkan pengguna dalam urusan pembelian tiket, malah lebih penting ia mampu mengekang anasir ulat tiket yang sebelum ini dilihat berleluasa.

“Kita pandang serius isu ulat tiket ini dan berharap ia dapat dibanteras dengan adanya sistem tiket secara bersepadu.

“Sistem ini akan dilaksanakan di terminal bas lain juga selepas ini secara berperingkat,” katanya.

Menyentuh mengenai operasi oleh agensi penguatkuasaan sempena TBC, beliau berkata setiap bas yang keluar dan masuk TBS akan melalui pemeriksaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan keselamatan kenderaan itu serta penumpang yang dibawa.

Katanya, operasi bersepadu juga akan dibuat bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang akan melakukan pemeriksaan secara rambang ke atas pemandu.

Dalam perkembangan berlainan, Loke berkata pihaknya sedang mengkaji kertas cadangan dikemukakan oleh PLUS Malaysia Berhad (PLUS) untuk memasang kamera Sistem Keselamatan Kesedaran (AWAS) di Jambatan Pulau Pinang.

“Saya rasa bagi pihak kerajaan, kita tiada bantahan (untuk memasang kamera AWAS).

“Bagaimanapun, kita akan kaji dulu kertas cadangan itu. Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengkaji dulu kesesuaian sebelum kita putuskan mengenainya,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna putih terjunam ke dalam laut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta jenis Toyota Vios di kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang arah Perai.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 pagi itu, seorang pelajar lelaki kolej swasta, Moey Yun Peng, 20, yang memandu SUV berkenaan dilaporkan terkorban.

266 dibaca
Berita Harian X