Ahad, 27 Januari 2019 | 2:04pm
Teo Nie Ching menyampaikan sumbangan kepada keluarga murid SJKT Ladang Kulai Besar, S Hemanarth, 8, pada Program Ziarah Cakna Peringkat Kebangsaan 2019 di Pejabat Pendidikan Daerah Kulai, di Kulai, hari ini. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Arahan mansuh pengasingan murid kekal

KULAI: Kementerian Pendidikan kekal dengan keputusan memansuhkan pengasingan kelas mengikut tahap penguasaan akademik murid di sekolah rendah.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, berkata komitmen itu bermula apabila peperiksaan ke atas murid tahun satu dimansuhkan bermula tahun ini.

“Bila tidak ada peperiksaan, maknanya kita tidak boleh bercakap mana satu (murid) cemerlang atau lemah.

“Kita tidak boleh melabelkan murid tujuh tahun cemerlang atau sebaliknya kerana ia terlalu awal,” katanya pada sidang media pada Program Ziarah Cakna Peringkat Kebangsaan 2019 di Pejabat Pendidikan Daerah Kulai, di sini, hari ini.

Katanya, adalah menjadi matlamat kementerian untuk memastikan kemenjadian murid dan pembangunan karektor dan ia seharusnya mendapat sokongan ibu bapa serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Katanya, Finland antara negara yang memansuhkan pengasingan kelas, selain diboikot negara-negara maju kerana dilihat mendiskriminasi kanak-kanak.

“Finland sebagai sebuah negara yang kita rasa mempunyai sistem pendidikan sangat bagus tidak melaksanakan pengasingan murid, tetapi pencapaian pendidikan pelajar mereka antara paling bagus. Pada masa sama jurang antara pelajar cemerlang dan lemah adalah paling kecil,” katanya.

“Meskipun ada ibu bapa tidak setuju dengan pendekatan diambil, paling utama adalah usaha ke arah kemenjadian murid dan pembangunan karektor,” katanya.

904 dibaca
Berita Harian X