Sabtu, 26 Januari 2019 | 3:35pm
Saifuddin (duduk tengah) bergambar kenangan bersama peserta pada Majlis Penutup Program Sehari Menyemai Bakti di Sekolah Kebangsaan Sungai Ular, di Kuantan, hari ini. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal

Promosi pelaburan ke MCKIP akan dipertingkat

KUANTAN: Kerajaan akan mencari jalan untuk meningkatkan pelaburan ke Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) bagi memberi peluang pekerjaan dan merancakkan ekonomi penduduk Pantai Timur.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata langkah itu perlu dilaksanakan susulan pembatalan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

“Kita di (Parlimen) Indera Mahkota akan beri tumpuan untuk tingkatkan pelaburan MCKIP, itu fokus saya sekarang.

“Sekarang ini, kita baharu ada satu syarikat iaitu Alliance Steel (M) Sdn Bhd yang beri 4,000 peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan. Kita (kerajaan) sedang usaha untuk membawa dan menarik pelabur asing dari China khususnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir merasmikan majlis penutup Program Sehari Menyemai Bakti di Sekolah Kebangsaan Sungai Ular, di sini, hari ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kerajaan memutuskan untuk membatalkan projek ECRL diterajui China Communications Construction Group Ltd (CCCC) secara muktamad dalam mesyuarat Kabinet, Khamis lalu.

Keputusan itu dilakukan kerana tidak mampu menanggung kadar faedah tahunan daripada projek berkenaan yang menjangkau hampir RM500 juta.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota, berkata, pembatalan projek ECRL perlu dilihat daripada sudut lebih besar antara implikasi kewangan negara dan peluang ekonomi dijana.

Katanya, setiap projek yang ingin dilaburkan kerajaan sudah tentu menguntungkan masyarakat tempatan namun ia harus diambil kira kemampuan kerajaan untuk melaksanakannya.

“Saya faham mengenai ECRL sebelum perkara ini diumumkan (pembatalan) kita sudah fokus tarik pelabur ke MCKIP. Kita yakin dapat mengimbangi pelaburan MCKIP dan pembatalan ECRL.

“MCKIP baharu 25 peratus dibangunkan dan ada tiga tapak. Satu tapak sudah dibangunkan dan itupun tidak sepenuhnya dan kita fokus bangunkan yang selebihnya, ...saya yakin apabila ia mampu dilaksana ia akan beri keuntungan kepada masyarakat tempatan,” katanya.

Mengulas mengenai hubungan Malaysia-China selepas pengumuman pembatalan ECRL, Saifuddin berkata, kerajaan China sedia maklum mengenai perkara itu selepas lawatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tahun lalu.

“Hubungan dengan negara China baik, soal pembatalan sudah kita bayangkan masa Perdana Menteri ke China dan apabila ia berlaku mereka memahaminya,” katanya.

160 dibaca
Berita Harian X