Sabtu, 26 Januari 2019 | 3:29pm
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik. - NSTP/Rosela Ismail

Beri ruang, masa kepada Dr Maszlee - ARMADA

KUALA LUMPUR: Penyelesaian isu berkaitan kolej vokasional serta institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) berdepan pelbagai masalah sejak 2012 akibat kegagalan rejim pentadbiran kerajaan terdahulu.

Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Ulya Aqamah Husamudin, berkata antara masalahnya ialah membabitkan isu akreditasi, selain nilai kebolehpasaran sesetengah program yang hanya berkadar 20 peratus.

“Ada juga juga prasarana kolej vokasional yang tiada sijil keselamatan, tenaga pengajar tidak terlatih terutama bagi menghadapi Revolusi Industri 4.0 dan kekurangan peralatan bagi bantuan pengajaran.

“Dalam menyelesaikan isu ini, langkah penyelesaian teliti dan masa perlulah diberikan secara adil kepada Kementerian Pendidikan yang baru saja mengambil alih tampuk pimpinan.

“Isu ini berlaku sejak 2012 dan gagal diselesaikan rejim yang lalu, maka berikan ruang dan peluang kepada (Menteri Pendidikan) Dr Maszlee (Malik) bersama pasukan beliau untuk mengatasi masalah ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bekas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan) merangkap Timbalan Pengerusi Gerakan TVET, Datuk Ahmad Tajuddin Jab, sebelum ini dilaporkan mendakwa Maszlee merosakkan kolej vokasional, selain menyebabkan proses pengambilan pelajar dan semua program berkenaan yang belum mendapat akreditasi dihentikan.

Ulya berkata, kolej vokasional dan pelbagai institusi TVET sentiasa menjadi tumpuan pentadbiran Pakatan Harapan (PH), malah buktinya diterjemahkan menerusi rangkaian langkah penyelesaian yang dirangka bagi mengatasi masalah berkaitan.

Antaranya, ‘upskilling’ (menambah kemahiran) tenaga pengajar melalui latihan dalam industri dan mencari penyelesaian akreditasi dengan hanya menggunakan satu sistem.

“Kami yakin langkah ini akan diterangkan pihak kementerian dengan lebih lanjut. Ia menunjukkan isu berkaitan TVET dan kolej vokasional dipandang serius bagi memastikan masa depannya yang majoriti penuntut adalah anak Melayu ditambah baik.

“Sebarang cadangan penambahbaikan oleh mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau orang awam disaran diajukan terus kepada pihak kementerian,” katanya.

548 dibaca
Berita Harian X