Jumaat, 25 Januari 2019 | 5:03pm
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta'in Billah Shah bersama salah seorang jemaah, Abdul Malik, 84 selepas menunaikan solat jumaat di Masjid Baru Daerah Temerloh. Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam dipilih sebagai Yang di Pertuan Agong ke 16 bagi tempoh lima tahun berkuatkuasa 31 Januari 2018. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Berusaha laksana tanggungjawab untuk negara - Al-Sultan Abdullah

TEMERLOH: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, memerlukan kerjasama semua pihak untuk menggalas tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 mulai 31 Januari ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah, baginda akan berusaha sebaik mungkin bagi menjalankan tugas berkenaan selepas Majlis Raja-Raja dalam mesyuarat khas semalam, memutuskan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong manakala Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

“Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT di atas anugerah dan amanah ini dan menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Raja-Raja (Majlis Raja-Raja) yang memberi kepercayaan kepada saya dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh lima tahun.

“Saya cuba sedaya upaya melunaskan tanggung jawab sebagai Yang di-Pertuan Agong...dan sudah tentu saya amat perlukan kerjasama, nasihat dan panduan supaya saya dapat jalankan tugas dengan sebaik mungkin.


Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta'in Billah Shah mengamin doa selepas menunaikan solat hajat berjemaah yang diimamkan oleh Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman bersama kira-kira 3000 jemaah di Masjid Baru Daerah Temerloh. Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam dipilih sebagai Yang di Pertuan Agong ke 16 bagi tempoh lima tahun berkuatkuasa 31 Januari 2018. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta'in Billah Shah mengamin doa selepas menunaikan solat hajat berjemaah yang diimamkan oleh Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman bersama kira-kira 3000 jemaah di Masjid Baru Daerah Temerloh. Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam dipilih sebagai Yang di Pertuan Agong ke 16 bagi tempoh lima tahun berkuatkuasa 31 Januari 2018. - Foto Muhd Asyraf Sawal

“Mudah-mudahan mendapat rahmat Allah SWT (dalam memerintah) dan seterusnya majukan negara Malaysia tercinta,” titahnya kepada media selepas berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Baru Temerloh, di sini, hari ini.

Al Sultan Abdullah semalam, dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 31 Januari 2019. Pemilihan Seri Paduka Baginda dibuat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas) di Istana Negara.

Baginda yang ditemani isteri, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, kemudian berangkat bersama kira-kira 3,000 jemaah dan orang ramai ke Majlis Santapan Jamuan Kesyukuran di perkarangan masjid.


Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) bersalaman dengan jemaah ketika hadir bagi menunaikan Solat Jumaat di Masjid Baru Temerloh pada Majlis Solat Hajat, Doa Selamat dan Santapan Jamuan Kesyukuran hari ini. - Foto BERNAMA

Al Sultan Abdullah kemudian berkenan menyampaikan sumbangan peribadi dan daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) kepada 200 asnaf.

Turut berangkat ke majlis itu ialah adinda baginda, Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Mu’adzam Sultan Ahmad Shah dan anakanda baginda, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin dan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman.

Terdahulu, baginda yang lengkap berbaju Melayu biru muda serta bersongket tiba pada jam 1.10 tengah hari sebelum menunaikan solat sunat.

Baginda kemudian turut menunaikan solat Hajat secara berjemaah bagi memohon keberkatan dalam pemerintahan baginda serta kesejahteraan ke atas bumi Pahang serta bacaan Tahlil.

Berita Harian X