Khamis, 24 Januari 2019 | 7:04pm
SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar dan Raja Zarith Sofiah merafak sembah ucapan tahniah kepada Sultan Pahang yang diipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16. Ucapan berkenaan dimuat naik menerusi laman Facebook rasmi baginda, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. - Royal Press Office

Sultan Johor ucap tahniah kepada Sultan Pahang

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah merafak sembah ucapan tahniah kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Ucapan berkenaan dimuat naik menerusi laman Facebook rasmi baginda, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, di sini hari ini.

“Merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada DYMM Al-Sultan Abdullah ibni Sultan Hj Ahmad Shah atas pemilihan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke XVI,” titah Sultan Ibrahim.

Sultan Pahang dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 31 Januari 2019.

Pemilihan Seri Paduka Baginda dibuat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas) di Istana Negara hari ini.

Baginda menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15 berkuat kuasa 6 Januari lalu selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 13 Disember 2016.

Mesyuarat terbabit turut memilih Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.

Berita Harian X