Khamis, 24 Januari 2019 | 6:16pm
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. - Foto Muhaizan Yahya

Kerajaan Perak sembah tahniah

IPOH: Kerajaan Perak menyampaikan sembah tahniah di atas pelantikan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billahdi sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, bagi tempoh lima tahun bermula 31 Januari ini.

Kerajaan negeri turut menjunjung kasih merafakkan setinggi-tinggi tahniah kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di atas perisytiharan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.

Sembah tahniah itu disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

“Kerajaan Perak dengan ini mendoakan supaya Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Abdullah Ri’atuddin Al-Mustafa Billah Shah terus dikurniakan keafiatan dan hidayah dalam menjalankan tugas sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16. Daulat Tuanku,” katanya.

Beliau berkata, keputusan yang diambil Majlis Raja-Raja hari ini sekali gus meneruskan kesinambungan Sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia.

Berita Harian X