Khamis, 24 Januari 2019 | 4:19pm
Peniaga, Wan Rahaimi Wan Mokhtar (kiri) dan pekerja am, G Kasthuri. - Foto Azim Ftri

Rakyat bangga, terharu dengan pelantikan Sultan Pahang sebagai Agong

KUANTAN: Pelantikan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 menggembirakan pelbagai lapisan rakyat Pahang.

Terharu, gembira, bersyukur, bangga dan ada juga yang mendoakan kesejahteraan baginda antara yang diluahkan rakyat di negeri ini mengenai pelantikan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu.

Peniaga kedai makan, Wan Rahaimi Wan Mokhtar, 56, berkata pelantikan baginda sudah pasti menjadi kebanggaan buat rakyat di seluruh negeri ini kerana baginda dikenali sebagai Sultan yang dekat di hati rakyat jelata.

“Saya doakan baginda dan isteri (Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah) diberi kesihatan yang baik untuk memerintah negara dengan bijaksana, semoga baginda diberikan kesejahteraan berpanjangan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau yang berasal dari Kempadang, di sini, juga berharap pelantikan baginda turut membawa keberkatan dan kehidupan yang lebih aman kepada rakyat Malaysia keseluruhannya.

Pekerja am, G Kasthuri, 35, berkata Al-Sultan Abdullah dikenali sebagai Sultan yang prihatin kepada rakyat Pahang dan pelantikan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong tepat pada masanya.

Beliau yang berasal dari Kuala Lipis, Lipis, terharu dengan pemilihan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong dan yakin perasaan itu turut dikongsi bersama seluruh masyarakat Malaysia.

“Sudah tentu sebagai rakyat Pahang saya bangga dan gembira kerana seperti satu penghormatan buat kami. Saya harap baginda dapat memerintah negara dengan adil serta belas ihsan,” katanya.

Peniaga makanan, Nor Laila Ariffin, 48, berkata Al-Sultan Abdullah diumpamakan Sultan yang merendah diri dan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

Katanya, apabila berlaku bencana seperti kebakaran dan banjir baginda antara yang terawal melawat dan bertanya khabar kepada mangsa.

Beliau berkata, baginda juga sering dilihat tidak terlalu mengikut protokol apabila senang duduk semeja dengan rakyat sambil berbual mengenai permasalahan dihadapi rakyat.

“Bila dah jadi Agong saya doakan sikap dan sifat itu sentiasa ada pada baginda... insya-Allah baginda akan disayangi rakyat seluruh negara,” katanya.


Peniaga kedai makan, Nor Laila Ariffin (kiri) dan peniaga barangan runcit, Abdul Jabbar Abdul Rahman. - Foto Azim Ftri

Peniaga barangan runcit, Abdul Jabbar Abdul Rahman, 71, berkata, beliau mempunyai kenangan bersama baginda beberapa tahun lalu dan baginda disifatkan seorang yang peramah.

“Bila berbual, baginda banyak bertanya khabar dan perkembangan rakyatnya. Apa kita buat? Ada sebarang masalah atau tidak? Semua itu baginda akan tanya. Jika kita beritahu ada masalah baginda akan cuba memberi penyelesaian,” katanya.

Tukang jam, Loo Chee Seng, 56, menyifatkan Al-Sultan Abdullah sebagai Sultan yang berpengalaman luas dan layak dipilih sebagai Agong.

“Dahulu masa jadi Tengku Mahkota Pahang, baginda selalu ikut dan belajar daripada (Paduka Ayahanda) Sultan Ahmad Shah bagaimana hendak mentadbir negeri, daripada situ baginda menimba pengalaman dan sekarang sudah layak untuk memerintah,” katanya.


Tukang jam, Loo Chee Seng (kiri) dan peniaga barangan runcit, Wong Ching Chean. - Foto Azim Ftri

Sementara itu, peniaga barangan runcit, Wong Ching Chean, 30, berharap baginda mampu mentadbir dan memerintah negara dan negeri Pahang dengan baik.

Katanya, rakyat berbilang bangsa sudah tentu akan menyanjung baginda sekiranya pemerintahan baginda membawa kemakmuran dan kesenangan kepada semua golongan.

390 dibaca
Berita Harian X