Rabu, 23 Januari 2019 | 7:26pm
LOKE Siew Fook mengadakan pertemuan bersama rakan sejawatnya, Khaw Boon Wan di Singapura pagi tadi. - FB Khaw Boon Wan

Singapura cadang lanjut tempoh penggantungan RA kekal, ILS

JOHOR BAHRU: Singapura mencadangkan kepada Malaysia untuk melanjutkan tempoh penggantungan pewujudan Kawasan Larangan (RA) kekal di ruang udara Pasir Gudang dan pelaksanaan tatacara Sistem Pendaratan Instrumen (ILS)di Lapangan Terbang Seletar, republik itu.

Menteri Pengangkutannya, Khaw Boon Wan, berkata lanjutan tempoh penggantungan berkenaan adalah bagi membolehkan lebih banyak perbincangan rasmi dapat dilakukan kedua-dua negara untuk menyelesaikan perkara itu.

Katanya, beliau dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke akan mengadakan pertemuan selanjutnya selepas perayaan Tahun Baharu Cina, bulan hadapan.

“Saya baharu sahaja mengadakan perbincangan hati ke hati bersama Loke di Singapura. Ini adalah pertemuan ketiga selepas kali pertama di Putrajaya dan kedua di Bangkok, Thailand, tahun lalu.

“Sementara itu, saya mencadangkan kita (Malaysia-Singapura) melanjutkan penggantungan dipersetujui bersama RA kekal di Pasir Gudang dan tatacara ILS di Lapangan Terbang Seletar bagi memberi lebih banyak masa perbincangan untuk mendapatkan penyelesaian menang-menang.

“Beliau (Loke) akan membawa cadangan saya (lanjutan penggantungan) kepada rakan kabinetnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasminya selepas mengadakan pertemuan bersama Loke di Singapura, hari ini.

Boon Wan berkata, beliau dan Loke akan mengadakan pertemuan seterusnya selepas perayaan Tahun Baharu Cina, bulan hadapan bagi meneruskan perbincangan mengenai isu berkenaan.

Sementara itu, dalam laman rasmi Facebook Loke, beliau memaklumkan pertemuan bersama Boon Wan berjalan lancar dan penuh konstruktif.

“Kami bersetuju melangkah ke hadapan untuk menyelesaikan isu Lapangan Terbang Seletar dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam kedua-dua negara akan meneruskan perbincangan berhubung aspek teknikal,” katanya.

Pertemuan antara Loke dan Boon Wan adalah rundingan pertama diadakan dalam tempoh sebulan penggantungan RA kekal di Pasir Gudang dan ILS di Lapangan Terbang Seletar yang diputuskan Kementerian Luar kedua-dua negara pada 8 Januari lalu.

428 dibaca
Berita Harian X