Rabu, 23 Januari 2019 | 5:25pm
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad ketika sidang media sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2019 di Kementerian Wilayah Persekutuan. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Beberapa penempatan akan dibangunkan semula - Khalid

PUTRAJAYA: Kementerian Wilayah Persekutuan merancang untuk membangunkan semula penempatan lama khususnya flat dan perumahan awam lama di beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur supaya lebih selesa diduduki.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, berkata pihaknya mendapati ada sebahagian flat berkenaan terlalu usang, keluasan kediaman yang sempit dan persekitaran yang membahayakan.

Justeru, katanya, kementeriannya bercadang untuk merobohkan kawasan penempatan itu dan membangunkannya semula di tapak sama sebelum unit kediaman baharu itu diberi percuma kepada pemilik asalnya.

“Selepas ini tiada lagi flat lima tingkat, sebaliknya kami akan bangunkan pangsapuri mungkin 20 tingkat di mana sebahagiannya diberikan kepada pemilik asal, manakala bakinya akan dijual sebagai kediaman mampu milik.

“Sebagai contoh, Perumahan Awam Sri Labuan yang terletak di Bandar Tun Razak hanya berkeluasan 400 kaki persegi seunit dengan dua bilik,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, Khalid berkata, kementerian menyasarkan untuk membina sekurang-kurangnya 10,000 unit perumahan mampu milik di sekitar Kuala Lumpur menerusi jenama Residensi Wilayah.

Menurutnya, projek pertama Residensi Wilayah membabitkan 1,000 unit kediaman akan dilancarkan Februari ini dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

“Kami akan melancarkan semua projek Residensi Wilayah tahun ini, namun perumahan itu akan siap sepenuhnya tiga tahun lagi,” katanya.

Katanya, selepas ini tiada lagi Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP), sebaliknya akan dijenamakan dengan nama Residensi Wilayah.

Khalid berkata, setiap unit Residensi Wilayah akan dibina dengan keluasan 900 kaki persegi (83.61 meter persegi) dan ditetapkan pada harga bermula RM300,000.

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata, beliau mengesahkan bahawa portfolio Pelan Malaysia dan Jabatan Landskap Negara diletakkan di bawah kementeriannya yang mana sebelum ini berada di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Buat permulaan, kementerian ditugaskan mewujudkan taman awam Persekutuan di setiap negeri dengan keluasan minimum 80 hektar. Ia akan dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri.

“Perbincangan mengenainya sedang berjalan sama ada mewujudkan kawasan baharu untuk diangkat sebagai taman awam atau mengambil alih taman awam sedia ada,” katanya.

Katanya, mengikut perancangan awal, setiap negeri mesti diwujudkan satu taman awam Persekutuan yang berskala besar.

Berita Harian X