Rabu, 23 Januari 2019 | 4:49pm
Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tan Sri Affendi Buang (kanan) menyerahkan dokumen perjanjian kepada Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Datuk Abdul Halim Jalal di Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Bagi Pengajian Baharu Untuk Pegawai Kadet (Juruterbang) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di Kolej Tentera Udara, Kepala Batas. - Foto Sharul Hafiz Zam

2u2i pertingkat kecekapan juruterbang ATM

ALOR SETAR: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bakal menjalin kerjasama memperkenalkan pengajian baharu bagi pengambilan Pegawai Kadet Juruterbang melalui program 2u2i.

Program 2u2i yang membabitkan pengajian selama empat tahun, iaitu dua tahun di UPNM dan dua tahun latihan industri di Kolej Tentera Udara (KTU) Alor Setar, dijangka berupaya meningkatkan keupayaan pegawai yang bakal berkhidmat bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Panglima TUDM, Tan Sri Affendi Buang, berkata pengenalan pengajian ini juga bagi menjimatkan masa penganugerahan sayap penerbangan kepada setiap pegawai TUDM atau ATM pada usia lebih muda.

“Sebelum ini, Pegawai Kadet Juruterbang perlu menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda di UPNM atau universiti awam sebelum dipilih mengikuti latihan penerbangan di KTU.

“Program ini memberi manfaat kepada TUDM dan ATM termasuk penjimatan kos, namun hanya mereka yang melepasi ujian altitud dan kesihatan akan dimasukkan ke dalam program ini,” katanya.


Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tan Sri Affendi Buang (kiri) bersama Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Datuk Abdul Halim Jalal (dua kiri) bersalaman dengan pelajar ketika hadir di Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Bagi Pengajian Baharu Untuk Pegawai Kadet (Juruterbang) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di Kolej Tentera Udara, Kepala Batas. - Foto Sharul Hafiz Zam

Melalui program ini, Pegawai Kadet Juruterbang boleh menamatkan pengajian dan dianugerahkan sayap penerbangan pada usia 23 tahun berbanding 26 tahun sebelum ini.

Terdahulu, Affendi menyaksikan majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) antara TUDM dan UPNM bagi pengambilan pertama 23 pelajar Ijazah Sarjana Muda Penerbangan yang memulakan pengajian mulai September lalu.

Sementara itu, TUDM sudah membuat persediaan terutama bagi aspek pertunjukan udara dan pameran statik sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2019 (LIMA’19) yang bakal berlangsung Mac ini.

Affendi berkata, penyertaan pasukan negara luar bagi persembahan udara dan pameran statik juga dijangka dimuktamadkan selewat-lewatnya hujung bulan ini.

Berita Harian X