Selasa, 22 Januari 2019 | 2:56pm
Tunku Azizah Aminah Maimunah akan dimasyhurkan sebagai Tengku Ampuan Pahang, pada istiadat khas yang akan diadakan di Istana Abu Bakar, 29 Januari ini.

Tunku Azizah Aminah Maimunah dimasyhurkan Tengku Ampuan Pahang

PEKAN: Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah akan dimasyhurkan sebagai Tengku Ampuan Pahang, pada istiadat khas yang akan diadakan di Istana Abu Bakar di sini, 29 Januari ini.

Ia selepas mendapat perkenan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan melantik putera sulungnya, Tengku Panglima Besar, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah sebagai Tengku Mahkota Pahang.

"Hari ini saya memaklumkan kepada Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang mengenai persetujuan melantik Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebagai Tengku Ampuan Pahang.

"Saya juga memaklumkan persetujuan saya melantik putera sulung saya, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah sebagai Tengku Mahkota Pahang.

"Tengku Hassanal akan kembali ke tanah air pada 28 Januari ini untuk mengikut istiadat pemasyhuran dan kemudian kembali mengikuti pengajian di Akademi Ketenteraan Diraja di Sandhurst, United Kingdom (UK)," titahnya kepada media selepas mempengerusikan Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang di sini, hari ini.

Al Sultan Abdullah bertitah gelaran Tengku Ampuan Pahang dan Tengku Mahkota Pahang itu seelok-eloknya digunakan selepas istiadat pemasyhuran itu diadakan nanti.

Mengenai jawatan Tengku Panglima Besar disandang Tengku Hassanal sebelum ini, Al Sultan Abdullah bertitah, jawatan itu akan dikosongkan sementara dan baginda akan mengenal pasti calon sesuai.

Al Sultan Abdullah juga berharap semua kerabat raja terutamanya Tengku Hassanal dapat menunjukkan perwatakan yang baik dan menjadi pemimpin kepada rakyat negeri ini.

"Sama-samalah kita beri tunjuk ajar kepada orang muda ini," titah baginda.

Tunku Azizah dilahirkan pada 5 Ogos 1960 di Istana Bukit Stulang, Johor Bahru, Johor dan baginda melangsungkan perkahwinan dengan Al-Sultan Abdullah pada 6 Mac 1986 di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Hasil perkahwinan itu, baginda berdua dikurniakan enam cahaya mata itu termasuk empat putera.

Gelaran Tengku Ampuan Pahang dikhaskan untuk permaisuri kepada pemerintah atau sultan semasa yang berdarah raja seperti tercatat dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang.

Tengku Hassanal Ibrahim, 23, pula adalah putera sulung Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Tengku Hassanal diputerakan pada 17 September 1995 di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan diisytiharkan sebagai Tengku Panglima Besar Pahang pada 18 Jun tahun lalu.

Berita Harian X