Ahad, 20 Januari 2019 | 7:07pm
TAN Sri Abd Aziz Abd Rahman. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Saya pun pernah joget - Abd Aziz

KUALA LUMPUR: Majlis tarian membabitkan tokoh kehakiman seperti yang tersebar di media sosial disifatkan sekadar himpunan sosial, sekali gus tidak akan merencatkan keutuhan profesionalisme dalam bidang guaman.

Ahli Lembaga Penasihat Majlis Perundingan Melayu (MPM), Tan Sri Abd Aziz Abd Rahman, berkata penganjuran majlis sedemikian tidak sewajarnya dijadikan isu atau dipolitikkan untuk meraih laba bersifat peribadi oleh segelintir pihak.

“Itu himpunan sosial, saya jadi majistret dan Timbalan Pendakwa Raya dulu juga hadir majlis sedemikian. Kalau ada joget, saya pun joget kerana menghormati persaudaraan dalam ‘keluarga’ bidang kehakiman.

“Itu saja, balik rumah lepas penat joget, lupa semua,” katanya secara bersahaja ketika ditemui pemberita di kediamannya, hari ini.

Klip video memaparkan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum; Peguam Negara, Tommy Thomas dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong dalam suatu majlis tersebar di media sosial, sejak kelmarin.

Video tarian membabitkan Tommy, Richard, Vui Keong bersama beberapa peguam dan aktivis seperti Datuk S Ambiga dan Siti Zabedah Kassim (Siti Kassim) menimbulkan kebimbangan netizen berkaitan ketelusan sistem kehakiman.

Abd Aziz mendakwa cubaan untuk memperbesarkan isu berkenaan dengan memanipulasi penganjuran majlis sosial itu mempunyai motif tersendiri, termasuk ingin mencetuskan perbalahan dalam kalangan masyarakat.

“Dulu semua ada (majlis sosial dan joget), ini bukan kali pertama, malah ketika menyandang jawatan dalam kerajaan juga pernah menyertai acara sama. Tiada apa-apa yang nak diperbesarkan pun pasal isu joget ni.

“Kalau orang pelawa saya naik pentas untuk joget, tak akan nak tolak kerana tingkah laku sedemikian mungkin diterjemahkan sebagai kurang ajar pula,” katanya.

4832 dibaca
Berita Harian X