Ahad, 20 Januari 2019 | 5:13pm
PENGERUSI Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) negeri, Datuk Razali Idris. - Foto Rozainah Zakaria

Ketua Hakim Negara, Peguam Negara diminta lepaskan jawatan

MARANG: Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum dan Peguam Negara, Tommy Thomas diminta melepaskan jawatan selepas kredibiliti institusi badan kehakiman dan sistem keadilan negara didakwa tercalar.

Ia berikutan tersebarnya video dua individu berkenaan rancak menari seperti ditularkan melalui media sosial sejak kelmarin.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) negeri, Datuk Razali Idris, berkata penyebaran klip video membabitkan pengamal undang-undang tertinggi menari itu tidak boleh dianggap sebagai isu bangsa dan agama.

“Tindakan oleh ketua jabatan tertinggi badan kehakiman dan Jabatan Peguam negara itu sedikit sebanyak boleh memberi kesan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Walaupun ramai beranggapan majlis tari menari yang turut membabitkan ketua jabatan kehakiman dan ketua peguam negara diadakan sempena Majlis Makan Malam Gala pengamal undang-undang adalah isu biasa, tetapi pembabitan mereka tidak disenangi seluruh pimpinan parti di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Bicara Profesional sempena Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) negeri di Auditorium Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur, di sini, hari ini.

Perasmian disempurnakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Razali yang juga Ahli Dewan Negara berkata demikian ketika mengulas penularan klip video yang memaparkan Richard dan Tommy sedang rancak menari sejak Ahad lalu.

“Richard dan Tommy dinasihatkan untuk meletak jawatan secara sukarela kerana kelakuannya itu memalukan kepemimpinan negara Malaysia Baharu.

“Peletakan jawatan secara sukarela oleh dua ketua jawatan tertinggi dalam kerajaan itu perlu dijadikan pengajaran kepada semua penjawat awam,” katanya.

6396 dibaca
Berita Harian X