Ahad, 20 Januari 2019 | 3:01pm

UMNO pun biasa ada majlis tarian - KJ

CAMERON HIGHLANDS: Tiada sebarang masalah untuk beberapa tokoh kehakiman berada dalam satu majlis, namun haruslah mengelak kelakuan yang boleh mengundang spekulasi negatif dalam kalangan rakyat.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, berkata masyarakat tidak seharusnya bersikap terlalu jumud sehingga mengatakan tidak boleh ada tarian di majlis keraian.

“Kita pun biasa dalam UMNO ada majlis tarian dan sebagainya, janji ia tak melampaui batas. Jangan kita jumud sangat kata tak boleh ada tarian di majlis-majlis terutamanya yang meraikan sesuatu.

“Bagi saya kalau Ketua Hakim Negara ada, Peguam Negara ada, Menteri Undang-undang ada, tak ada masalah untuk berada dalam satu majlis tapi kita elaklah apa-apa tindakan yang boleh mengundang spekulasi negatif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan kempen di Kampung Orang Asli Sungai Ruil, Golden Hill, di sini hari ini.

Sebuah video memaparkan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum; Peguam Negara, Tommy Thomas dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong dalam suatu majlis tersebar di media sosial.

Video tarian membabitkan Tommy, Richard, Vui Keong bersama beberapa peguam dan aktivis seperti Datuk S Ambiga dan Siti Zabedah Kassim (Siti Kassim) menimbulkan kebimbangan netizen berkaitan ketelusan sistem kehakiman.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, tarian itu tidak menimbulkan isu moral sebaliknya lebih kepada kritikan seolah-olah pemisahan kuasa tak dihormati kerana semua mereka berinteraksi secara sosial.

“Itu sahaja... jadi bagi saya bukanlah soal moral tetapi lebih kepada soal pemisahan kuasa dan mereka (pun) sudah jawab hanya satu lagu dan sebagainya.

“Tapi dulu kita (BN menari) kena hentam jadi tak apalah kalau rakyat nak tegur terima sahajalah,”

Sebelum ini pada 2016 kerajaan hari ini yang menjadi pembangkang ketika itu turut mempersoalkan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menari bersama beberapa menteri BN dalam majlis sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka.

5987 dibaca
AHLI Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin - Foto Roslin Mat Tahir
Berita Harian X