Sabtu, 19 Januari 2019 | 10:05pm
PRESIDEN Pertubuhan Undang-Undang Sabah, Brenndon Soh.

Mereka tahu bezakan antara peribadi dan profesional - SLS

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Undang-Undang Sabah (SLS) kecewa dengan tindakan segelintir pihak yang sengaja mempolitikkan acara tarian membabitkan tokoh kehakiman seperti yang tersebar di media sosial.

Presidennya, Brenndon Soh, berkata majlis tarian itu sebenarnya berlangsung sempena Majlis Makan Malam Gala Pengamal Undang-Undang 2019 (OLY 2019).

"SLS menafikan sebarang dakwaan oleh pihak tertentu berhubung penularan klip video membabitkan pengamal undang-undang menari di atas pentas sempena OLY 2019.

"Majlis itu sebenarnya diadakan secara tertutup dan adalah acara tahunan yang menjadi tradisi untuk Sabah dan Sarawak selepas prosiding rasmi yang diadakan pada sebelah pagi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Brenndon berkata, majlis itu hanya dihadiri pemegang taruh pertubuhan undang-undang seperti anggota badan kehakiman, Pejabat Peguam Negara dan pengamal undang-undang yang lain.

Katanya, masyarakat cukup matang dan sedar bahawa individu yang terdapat dalam klip video itu sebenarnya dapat membezakan antara kerjaya profesional dan kehidupan peribadi mereka.

"Amat menyedihkan bagi komuniti pengamal undang-undang jika mereka merasa dikekang daripada menari dalam majlis seumpama itu hanya disebabkan kritikan tidak berasas," katanya.

Sebuah video memaparkan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum; Peguam Negara, Tommy Thomas dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong dalam suatu majlis tersebar di media sosial.

Video tarian membabitkan Tommy, Richard, Vui Keong bersama beberapa peguam dan aktivis seperti Datuk S Ambiga dan Siti Zabedah Kassim (Siti Kassim) menimbulkan kebimbangan netizen berkaitan ketelusan sistem kehakiman.

Antara yang meluahkan kebimbangan adalah Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menyifatkan klip video terbabit sebagai memalukan institusi kehakiman.

Katanya, klip berkenaan membabitkan personaliti perundangan dan kehakiman yang dikenali ramai.

2408 dibaca
Berita Harian X