Sabtu, 19 Januari 2019 | 7:25pm
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu semasa sidang media di Guar Petai, Tasek Gelugor, Pulau Pinang. - Foto Mikail Ong

PH berdepan cabaran di Cameron Highlands - Mohamad

TASEK GELUGOR: Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu mengakui Pakatan Harapan (PH) berdepan cabaran untuk menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, 26 Januari ini.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan, berkata ia berikutan tidak ramai penyokong PH yang akan pulang mengundi kerana ia hanya PRK.

“Jika Pilihan Raya Umum, mungkin kita akan ada lebih ramai penyokong

“Bagaimanapun, kita cuba sebaiknya untuk PRK ini. Kita tetap perlu cuba walaupun sekecil mana peluang untuk menang,” katanya ketika ditemui di Majlis Perkahwinan anaknya di kediaman beliau di Guar Petai dekat sini, hari ini.

PRK Parlimen Cameron Highlands menyaksikan saingan empat penjuru membabitkan calon PH, M Manogaran; calon BN, Ramli Mohd Noor; serta dua calon Bebas iaitu Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee.

Pada 30 November lalu, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan keputusan pilihan raya kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Mei lalu yang memberikan kemenangan kepada calon BN, Datuk C Sivarraajh adalah terbatal dan tidak sah.

Mohamad turut menyindir PAS yang hadir memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) pada PRK Parlimen Cameron Highlands.

“Sebelum ini mereka (PAS) menyokong (BN) secara senyap tetapi kini ia sudah menjadi umum,” katanya.

1203 dibaca
Berita Harian X