Sabtu, 19 Januari 2019 | 7:24pm

Tun M hadiri dua forum anti rasuah di Vienna

VIENNA: Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual menyampaikan syarahan dan ucaptama di dua forum penting berkaitan anti rasuah antarabangsa sempena lawatan kerja tiga hari ke Austria, bermula esok.

Perdana Menteri dijangka mengetengahkan agenda pembaharuan Malaysia serta pengalaman negara memerangi rasuah kepada masyarakat antarabangsa.

Duta Malaysia ke Austria yang juga Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Vienna, Datuk Ganeson Sivagurunathan, berkata forum pertama adalah syarahan Dr Mahathir di International Anti-Corruption Academy pada Isnin.

“Fokus sama dijangka disampaikan Dr Mahathir pada ucaptama Persidangan Tahunan ke-10 dan Mesyuarat Agung Persatuan Antarabangsa Pihak Berkuasa Pencegahan Rasuah (IAACA), di Pusat Antarabanga Vienna (VIC) pada Selasa.

“Antara isu yang akan diketengahkan dalam ucaptama itu ialah cara Malaysia menangani gejala rasuah dalam negara, inisiatif pencegahan rasuah kerajaan dan usahanya dalam menambah baik tadbir urus,” katanya pada sidang media kepada wartawan Malaysia, di sini, sebentar tadi.

Pada lawatan tiga hari itu, Perdana Menteri akan diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Turut sama ialah Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya serta pegawai kanan Wisma Putra.

Ini adalah lawatan sulung Dr Mahathir ke Austria sejak memegang semula jawatan Perdana Menteri, 10 Mei tahun lalu.

Sebelum ini Dr Mahathir pernah melawat Austria pada 1985 ketika menjawat jawatan Perdana Menteri keempat.

Ganeson berkata, Perdana Menteri juga dijadualkan bertemu Canselor Austria, Sebastian Kurz serta Presiden republik itu, Alexander Van der Bellen.

Kurz adalah ketua negara termuda dunia yang berusia 32 tahun.

Tumpuan mereka pastinya membincangkan cara-cara mengukuhkan lagi hubungan persahabatan dan kerjasama Malaysia dan Austria, selain berbincang isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama. Austria adalah rakan perdagangan ke-10 Malaysia dalam kalangan negara Kesatuan Eropah (EU).

Jumlah dagangan antara Malaysia-Austria bagi tempoh Januari-November 2018 mencatatkan RM3.09 bilion, meningkat 22 peratus berbanding RM2.53 bilion dalam tempoh sama pada 2017.Jumlah eksport Malaysia ke Austria pada 2018 mencecah RM470 juta manakala import RM2.62 bilion.

Ganeson berkata, kemunculan Perdana Menteri ini amat signifikan ketika usaha gigih Malaysia bersama masyarakat global dalam membanteras rasuah dan memperjuangkan isu integriti.

Turut disusun dalam lawatan ialah pertemuan Perdana Menteri dengan pelabur serta ahli perniagaan Austria bagi menerokai peluang meningkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala serta perjumpaan dengan rakyat Malaysia di Austria dan Republik Slovak.

521 dibaca
DUTA Malaysia ke Austria yang juga Wakil Tetap Malaysia ke PBB di Vienna, Datuk Ganeson Sivagurunathan.
Berita Harian X