Sabtu, 19 Januari 2019 | 7:04pm

Cadangan perintah berkurung perlu diteliti sebelum dilaksanakan - Mujahid

TASEK GELUGOR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusoff Rawa menyokong cadangan Kerajaan Persekutuan memperkenalkan perintah berkurung bagi remaja bawah 18 tahun bagi mengelak terjebak dengan masalah sosial, khususnya dadah.

Katanya, cadangan itu boleh dilaksanakan di negara ini, selain menegaskan tindakan hampir sama turut dilakukan di Iceland dan Scandinavian.

“Bagaimanapun, kementerian berkaitan perlu meneliti cadangan ini supaya rakyat jelas, mudah faham dan patuh dengan pelaksanaannya nanti. Isu remaja melepak di tengah malam sudah berlaku sejak dulu.

“Sebelum ini, ada program seperti Rakan Muda yang mampu mencegah mereka daripada terjebak dalam aktiviti tidak sihat dan cadangan ini boleh menjadi tindakan lanjut daripadanya.

“Pelaksanaannya perlu jelas, adakah ada tempat khusus atau mereka langsung tak dibenarkan keluar rumah bagi tempoh ditetapkan,” katanya ketika ditemui di Majlis Perkahwinan anak Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu di sini, hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan kerajaan berminat untuk memperkenal perintah berkurung kepada remaja berusia bawah 18 tahun di negara ini.

Ia termasuklah kebenaran bagi remaja bawah 18 tahun keluar dari rumah masing-masing mengikut tempoh had masa ditetapkan, selain pihak berkuasa mengenal pasti ia adalah antara penyelesaian bagi membanteras pembabitan mereka dalam gejala hidu gam.

Mujahid berkata, kerajaan juga perlu meneliti punca utama penularan gejala melepak dalam kalangan remaja bawah umur kerana terdapat kemungkinan mereka tidak terbabit dalam aktiviti tidak sihat.

“Contohnya, kawasan flat di Kuala Lumpur, di mana hanya dilengkapi dua bilik dan digunakan ahli keluarga lain. Ia menyebabkan remaja ini lebih gemar melepak berbanding duduk di rumah mereka.

“Ada juga yang lepak untuk tengok bola, adakah kita boleh melarang mereka? Kita perlu lihat cadangan ini dalam konteks bagaimana ia boleh dilakukan di Malaysia. Kementerian saya sedia bekerjasama dan saya sokong idea ini,” katanya.

558 dibaca
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusoff Rawa - Foto Mikail Ong
Berita Harian X