Sabtu, 19 Januari 2019 | 6:33pm
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (dua kiri) merasmikan Konvensyen Memperkasakan Usahawan Bumiputera dan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) di Marina Island Hall. - Foto Noor Hidayah Tanzizi

Usahawan tempatan digalak tembusi industri halal antarabangsa

LUMUT: Usahawan tempatan digalak merebut peluang dalam industri produk halal di pasaran antarabangsa yang kini mempunyai permintaan tinggi mencecah AS$2 trilion (RM8.2 trilion).

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, berkata permintaan produk berlabel halal juga semakin meningkat dengan pertumbuhannya mencatat sehingga 20 peratus setiap tahun.

Beliau berkata, usahawan tempatan perlu mengambil peluang itu dengan pihaknya bersedia memberi keyakinan, bantuan latihan dan ilmu supaya mereka memahami proses halal serta memahami kehendak pasaran.

“Kementerian juga membantu membuka peluang pasaran di luar negara selain peluang perniagaan di pusat perniagaan besar di Kuala Lumpur atau negara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Memperkasakan Usahawan Bumiputera dan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) di Marina Island Hall di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalannya yang juga Ahli Parlimen Lumut, Datuk Dr Mohd Hatta Ramli.

Pada konvensyen itu, lebih 500 usahawan pelbagai sektor hadir bagi berkongsi pandangan, idea serta maklumat dalam memperkasa pembangunan usahawan, manakala hampir 60 usahawan mempamerkan produk jualan mereka sempena pertunjukan SDSI.

Mohd Redzuan berkata, industri halal bukan sahaja membabitkan produk makanan tetapi meliputi setiap proses dan barangan termasuk aspek pengangkutan sehingga pengendalian di pasar raya bagi menjamin keyakinan pengguna orang Islam.

“Ada barangan halal dibuat oleh orang bukan Islam tetapi mereka mengetahui proses halal jadi mereka nampak peluang (perniagaan produk halal) besar.

“Contohnya di Pulau Pinang ada 55 peratus penduduk Islam tetapi disebabkan mereka memahami keperluan halal itu, 90 peratus (produk halal) dibuat dan dibekalkan oleh orang Cina.

“Ini berkaitan pemahaman proses (menghasilkan produk halal menepati syarat ditetapkan pihak berkuasa) dan ia juga sama dengan Jepun dan China yang memahami kehendak barangan halal di seluruh dunia,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Redzuan berkata, kementerian sentiasa membuka peluang dan ruang kepada semua usahawan termasuk kalangan Orang Asli dalam meningkatkan sosio ekonomi masyarakat itu.

Menurutnya, Orang Asli juga masyarakat yang diberikan sasaran, dilatih dan diberi peluang untuk mereka memenuhi pasaran dibuka sama ada dalam atau luar negara.

“Kita membantu semua usahawan tak kira bangsa dan agama. Kita membangunkan usahawan di peringkat B40 yang kebanyakannya orang Melayu, ada juga Cina, India ataupun Orang Asli,” katanya.

109 dibaca
Berita Harian X