Sabtu, 19 Januari 2019 | 4:46pm
Anggota Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim menandatangani plak perasmian pada Majlis Pemasyhuran Kampung Kerinchi dan Perasmian Pejabat Anggota Parlimen Lembah Pantai di Kampung Kerinchi hari ini. Turut sama Anggota Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil (kanan).
 - Foto BERNAMA

Anwar sokong keputusan kerajaan sekat atlet Israel

KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong pendirian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan Malaysia yang menghalang atlet Israel daripada bertanding dalam Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak, Julai ini

“Saya berpendapat kabinet menimbang perkara ini sebagai satu cara untuk menyatakan pendirian tegas terhadap pencabulan Israel terhadap Palestin.

“Mereka (Israel) mengetepi sepenuhnya tekanan komuniti antarabangsa, jadi saya berpendapat kabinet melakukan keputusan yang tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui pada Majlis Pemasyhuran Kampung Kerinchi dan Perasmian Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.


Anggota Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim (empat, kiri) ketika merasmikan pemasyhuran Kampung Kerinchi dan perasmian pejabat Anggota Parlimen Lembah Pantai di Kampung Kerinchi hari ini. Turut bersama Anggota Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil (empat, kanan), Anggota Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar (kanan) dan Pengerusi Persatuan Waris Kampung Kerinchi Baharuddin Hasan (tiga dari kiri). - Foto BERNAMA

Pada 10 Januari lalu, Dr Mahathir berkata kerajaan kekal dengan pendirian untuk tidak membenarkan atlet Israel bertanding pada Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, dan sekiranya mereka berdegil mahu menyertainya ia adalah satu kesalahan.

Sebelum ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga menyatakan sokongannya terhadap pendirian kerajaan itu yang dianggapnya tepat dan selaras dengan dasar luar Malaysia yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

Dalam pada itu mengenai teguran secara berterus terang daripada sesetengah pimpinan parti itu kepada dirinya, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata beliau mengambil bersikap lebih lembut.

“Dia (PKR) ada Biro Disiplin, tapi saya mengambil sikap lebih lunak (lembut), you nak jerit, jerit okay,” katanya.

Sementara itu mengenai Majlis Pemasyhuran Kampung Kerinchi, Fahmi berkata beliau kini dalam proses perbincangan dengan pejabat Datuk Bandar, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mewartakan sepenuhnya penggunaan semula nama Kampung Kerinchi.

“Penggunaan sekarang dalam poskod disebut Kerinchi, tapi saya nak tegaskan nama ‘Kampung Kerinchi’ mesti dikekal. Bukan nak rasa malu, tapi kita mahu kekalkan sejarah asal usul tempat ini walaupun kawasan ini dibangunkan dengan banyak pejabat komersial seperti di Bangsar South, yang juga sebenarnya dalam kawasan Kampung Kerinchi,” katanya. – BERNAMA

463 dibaca
Berita Harian X