Sabtu, 19 Januari 2019 | 4:32pm

Peruntukan khas FELDA sudah diagih kepada peneroka

KUALA LUMPUR: Peruntukan khas sebanyak RM77 juta yang diluluskan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kepada FELDA sudah diagihkan kepada peneroka pada 14 Januari lalu.

Dalam kenyataan semalam, FELDA berkata, peruntukan khas itu meliputi Bayaran Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil (BSHPH), bayaran tunggakan bagi kerja-kerja operasi pembangunan ladang peneroka dan bayaran khairat kematian yang diserahkan kepada 120 waris peneroka.

“Seramai 30,799 peneroka sudah menerima tuntutan BSHPH pada 31 Disember 2018, manakala 4,644 peneroka pula menerima tuntutan pada 14 Januari lalu.

“Semua tuntutan BSHPH selesai diserahkan kepada peneroka dan bayaran ini hanya dibuat kepada peneroka yang terbabit bawah Program Tanam Semula.

“Walau bagaimanapun, seramai 851 peneroka di Sungai Koyan tidak terbabit dengan program itu dan tiada tuntutan BSHPH yang dibuat,” menurut kenyataan itu.

Kelmarin, BH Harian melaporkan punca sebenar kelewatan pengagihan bayaran tunggakan kepada peneroka FELDA akan diumumkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang akan turun membantu jentera kempen PH di Sungai Koyan, hujung minggu ini.

Kementerian Kewangan pada 20 Disember lalu mengumumkan peruntukan khas berjumlah RM77 juta bagi membantu peneroka FELDA melunaskan bayaran tertunggak pada tahun semasa bagi mengatasi masalah aliran tunai FELDA yang sangat kritikal ketika ini.

Peruntukan itu adalah bagi membantu peneroka FELDA melunaskan bayaran tertunggak seperti bayaran khairat kematian berjumlah RM1.2 juta membabitkan waris kepada 120 peneroka yang sudah meninggal dunia.

Selain itu, bayaran tunggakan kepada FELDA Technoplant Sdn Bhd bagi kerja operasi pembangunan ladang peneroka sebanyak RM43 juta dan bayaran sara hidup serta pendahuluan hasil tanam semula berjumlah RM32.8 juta untuk manfaat 38,000 peneroka FELDA.

786 dibaca
Berita Harian X