Sabtu, 19 Januari 2019 | 4:11pm
Gambar kenangan Allahyarham Tan Sri Abdul Aziz Ismail (kanan) bersama Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pada Mei 2000.Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri keempat Tun Dr Mahathir meninggal dunia akibat masalah pernafasan di kediamannya di Bangsar pada 10 pagi tadi. Allahyarham berusia 76 tahun. Allahyarham berkhidmat dengan kerajaan selama 33 tahun dan bekerja dengan Dr. Mahathir sejak 1981 bagi jawatan Timbalan Ketua Setiausaha Sulit sebelum dinaikkan pangkat kepada Ketua Setiausaha Sulit pada 1983. - Foto BERNAMA

Bekas Ketua Setiausaha Sulit Tun Dr Mahathir meninggal

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Abdul Aziz Ismail meninggal dunia akibat masalah pernafasan di kediamannya di Bangsar pada 10 pagi tadi.

Allahyarham berusia 76 tahun.

Anak keempat Allahyarham, Nik Ina Naslisa, 38, berkata ayahnya disahkan meninggal dunia oleh paramedik yang dipanggil ke rumah.

“Saya tertidur di sofa sebelah arwah. Pukul 9 saya tersedar dan nampak pernafasan ayah tidak seperti biasa. Saya panggil anggota keluarga lain sebelum menghubungi paramedik.


Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Abdul Aziz Ismail.

“Tak lama kemudian paramedik tiba dan periksa arwah… paramedik sahkan daddy sudah tiada,” katanya kepada Bernama.

Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Saidina Abu Bakar di Bangsar untuk urusan pengebumian dan solat jenazah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Asar.

Allahyarham berkhidmat dengan kerajaan selama 33 tahun dan bekerja dengan Dr Mahathir sejak 1981 bermula sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Sulit sebelum dinaikkan pangkat kepada Ketua Setiausaha Sulit pada 1983.

Abdul Aziz bersara daripada perkhidmatan kerajaan pada Mei 2000.

Menurut Naslisa, arwah bapanya dimasukkan ke Pusat Perubatan Pantai, Bangsar beberapa kali sejak April tahun lalu kerana sakit jantung selain masalah kaki dan belakang.

Allahyarham mempunyai lima anak termasuk tiga daripada perkahwinan keduanya bersama Puan Sri Nik Rokiah Nik Abdul Majid, 58.

Menurut Naslisa, ayahnya adalah seorang yang tenang, penyabar dan sangat mengambil berat mengenai keluarga sungguhpun sibuk dengan tugas.

"Daddy akan tetap ada masa untuk kami. Kami akan luangkan masa untuk makan bersama. Saya jaga ayah sejak April tahun lalu,” katanya. – BERNAMA

1203 dibaca
Berita Harian X