Sabtu, 19 Januari 2019 | 4:04pm
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjawab pertanyaan media selepas hadir Persidangan Antarabangsa Kali Ketiga Mengenai Kemunculan Afrika (ICEA-III) yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Abdou Diouf Diamniadio pada Khamis. - Foto BERNAMA

Menteri Besar Johor di perairan neutral - Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berada di perairan neutral dan tidak menceroboh wilayah Singapura ketika lawatan ke atas kapal Malaysia pada 9 Januari lalu.

Mengakui lawatan Osman ke atas kapal pengawasan Malaysia di pelabuhan Johor itu tanpa kebenaran kerajaan persekutuan, Perdana Menteri berkata beliau terkejut dengan reaksi berhubung perkara berkenaan.

“Maksud saya reaksi terhadap beliau (Osman) ke sana agak keterlaluan seolah-olah beliau pergi berperang. Maksud saya beliau cuma ke kapal, ke perairan neutral,” katanya menjawab soalan seorang hadirin selepas menyampaikan syarahan di Oxford Union yang disiarkan secara langsung oleh Astro Awani dari London, awal hari ini.

Hadirin itu bagaimanapun menegaskan Osman menceroboh perairan wilayah Singapura namun Dr Mahathir menegaskan kawasan itu adalah perairan antarabangsa.

“Ia bukan perairan Singapura, ia perairan antarabangsa dan menteri besar boleh pergi ke perairan antarabangsa tanpa memerlukan Singapura menghantar kapal perang untuk menghalau beliau,” katanya .

Semalam, Kementerian Luar berkata ia cuba menghalang Osman daripada melawat pelabuhan Johor Bahru, lawatan yang didakwa Singapura menyebabkan Osman menceroboh perairannya.

Osman menafikan beliau menceroboh perairan republik itu dan lawatannya ke atas kapal MV Pedoman pada 9 Januari lalu adalah untuk melihat sendiri pasukan keselamatan Malaysia melakukan tugasnya.

Singapura mendakwa Osman menceroboh perairan wilayahnya dan membuat bantahan menerusi nota diplomatik kepada Wisma Putra bertarikh 11 Januari selain mahu menangguhkan mesyuarat ke-14 Jawatankuasa Bersama Menteri bagi Iskandar Malaysia yang dijadualkan pada 14 Januari. – BERNAMA

1175 dibaca
Berita Harian X