Sabtu, 19 Januari 2019 | 3:14pm

MB gagal selami isu caj parkir - Manogaran

CAMERON HIGHLANDS: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail didakwa gagal memahami isu caj parkir oleh Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) yang dibangkitkan Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini.

Calon PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, M Manogaran, berkata kenyataan balas mengenai caj parkir oleh Wan Rosdy yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang itu jelas tidak mendengar keluhan rakyat.

Menurutnya, kenyataan beliau bahawa caj parkir hanya membabitkan kawasan tumpuan pelancong iaitu di Tanah Rata, Brinchang dan Kea Farm adalah tidak masuk akal dan tidak boleh diterima penduduk Cameron Highlands.

“Daerah Cameron Highlands terdiri daripada lapan kawasan pendudukan yang utama iaitu Kampung Raja seramai 2,103 orang, Kuala Terla (1,622 orang), Tringkap (1,334 orang), Brinchang (2,644 orang), Tanah Rata (3,127 orang), Habu (856 orang), Ringlet (2,323 orang) dan Lembah Bertam (2,037 orang).

“Tanah rata adalah pusat pentadbiran Cameron Highlands, manakala Brinchang adalah pusat perniagaan utama menjadikan ia adalah antara dua kawasan penduduk terbesar di sini.

“Jadi bagaimanakah Wan Rosdy mengatakan pengutipan bayaran parkir tujuh hari seminggu itu tidak akan menjejaskan penduduk Cameron Highlands, sedangkan mereka banyak berurusan di tempat ini untuk menjalankan aktiviti harian,” katanya pada sidang media di Tanah Rata di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Pahang, Fuziah Salleh.

Rabu lalu, media melaporkan Wan Rosdy menjelaskan, MDCH ada menawarkan diskaun 25 peratus kepada mereka yang membeli kupon caj parkir untuk tempoh lebih dari sebulan susulan dakwaan mengatakan caj tempat letak kereta bulanan RM80 yang mahal.

Mengulas lanjut, Manogaran berkata, diskaun 25 peratus untuk pas yang ditawarkan adalah untuk pembayaran caj parkir dengan tempoh 12 bulan sahaja, iaitu berjumlah RM720 dan bukan untuk tempoh yang lebih pendek.

“Bayaran bulanan di MDCH sebanyak RM80 sememangnya adalah lebih mahal daripada Temerloh (RM50) dan Kuantan (RM52),” katanya.

628 dibaca
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh bersama calon Pakatan Harapan (PH), M. Manogaran beramah mesra dengan orang ramai ketika tinjauan mesra sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands di Tanah Rata. - Foto Aizuddin Saad
Calon Pakatan Harapan (PH) P.078 Cameron Highlands M. Manogaran (tengah) bersama para penduduk setempat pada sesi tinjauan mesra di Pekan Tanah Rata hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X