Sabtu, 19 Januari 2019 | 3:04pm
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun (kiri) bersama Pengurus Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Semenyih Datuk Mohd Sayuthi Bakar (kanan) melihat peta selepas mengadakan sidang media di Menara SPR , semalam. - Foto BERNAMA

Semak nombor bilangan pemilih sebelum keluar mengundi - SPR

CAMERON HIGHLANDS: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminta pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, 26 Januari ini membuat semakan maklumat daftar pemilih lebih awal sebelum hari pengundian, terutama berkaitan nombor bilangan pemilih.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun, berkata maklumat daftar pemilih boleh dibuat melalui beberapa cara, antaranya dengan melayari portal rasmi SPR di www.spr.gov.my ; atau melalui telefon di talian 03-88927018; atau menyemaknya melalui aplikasi MySPR Semak dan melalui SMS ke 15888 (taip SPRSEMAKNo.IC).

“Bagi pengundi yang sudah mengetahui maklumat daftar pemilih, mereka tidak lagi perlu membuat semakan di barung SPR.

“Sebaliknya mereka disaran untuk mencatat dan menyimpan maklumat seperti pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Azhar berkata, pengundi juga disaran membawa slip atau catatan maklumat berkenaan serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran mengundi.

Katanya, slip atau catatan itu akan memudahkan KP1 untuk membuat semakan nama dan membantu kelancaran proses pengundian.

202 dibaca
Berita Harian X