Sabtu, 19 Januari 2019 | 2:19pm
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu berucap pada Persidangan 'Third International Conference on the Emergence of Africa' (ICEA) yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Abdou Diouf Diamniadio, kelmarin. - Foto BERNAMA

Lawatan kerja PM ke Austria mulai esok

VIENNA: Mengetengahkan agenda pembaharuan Malaysia serta pengalaman negara dalam memerangi rasuah kepada masyarakat antarabangsa antara tumpuan utama lawatan kerja Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke Austria bermula esok.

Dalam kenyataannya hari ini, Wisma Putra berkata, pada lawatan tiga hari itu, Perdana Menteri akan diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Turut sama ialah Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya serta pegawai kanan Wisma Putra.

Dalam lawatan ini, Dr Mahathir dijadual menyampaikan syarahan di International Anti-Corruption Academy pada Isnin, dan ucaptama pada Persidangan Tahunan ke-10 dan Mesyuarat Agung Persatuan Antarabangsa Pihak Berkuasa Pencegahan Rasuah (IAACA), di Pusat Antarabanga Vienna pada Selasa.

Antara isu yang akan diketengahkan dalam ucaptama itu ialah cara Malaysia menangani masalah rasuah dalam negara, inisiatif pencegahan rasuah kerajaan dan usahanya dalam menambah baik tadbir urus.

Perdana Menteri juga dijadualkan bertemu Canselor Austria, Sebastian Kurz serta Presiden republik itu, Alexander Van der Bellen untuk membincangkan cara-cara mengukuhkan lagi hubungan persahabatan dan kerjasama Malaysia dan Austria, selain berbincang isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Wisma Putra berkata turut disusun ialah pertemuan Perdana Menteri dengan pelabur serta ahli perniagaan Austria bagi menerokai peluang meningkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala serta perjumpaan dengan rakyat Malaysia di Vienna.

331 dibaca
Berita Harian X