Sabtu, 19 Januari 2019 | 2:15pm
Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (PATRIOT), Datuk Mohd Arshad Raji. - Foto karangkraf.com

Failkan tindakan sivil tanah Orang Asli tepat, bermoral - PATRIOT

KUALA LUMPUR: Tindakan Kerajaan Persekutuan memfailkan tindakan sivil untuk mendapatkan pengiktirafan hak tanah adat Orang Asli Temiar di Pos Simpor berdekatan Gua Musang, Kelantan disifatkan sebagai tepat mengikut nilai moral.

Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (PATRIOT), Datuk Mohd Arshad Raji, berkata ia menunjukkan kerajaan sentiasa berada di barisan hadapan dalam membela nasib dan kebajikan Orang Asli.

“Sebelum ini, Peguam Negara, Tommy Thomas ada menyebut Kerajaan Kelantan memberi hak kebenaran pembalakan kepada syarikat swasta di kawasan itu tanpa berunding dengan Orang Asli.

“Malah, tiada pampasan dipercayai diberikan. Tindakan itu seperti tidak menghiraukan hak Orang Asli yang menggunakan tanah itu sebagai sumber pendapatan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Arshad mengingatkan Kerajaan Kelantan terhadap insiden banjir pada 2014 antaranya berpunca daripada aktiviti pembalakan secara tidak terkawal.

“Kesannya, rakyat Kelantan menderita dengan kehilangan pelbagai harta benda,” katanya.

Semalam, Jabatan Peguam Negara mengesahkan memfailkan tindakan sivil di Mahkamah Tinggi Kota Bharu bagi pihak Kerajaan Persekutuan.

Tommy dilaporkan berkata turut difailkan adalah injunksi bagi menghalang pencerobohan dan pemusnahan tanah adat demi keuntungan komersial pihak swasta.

Buat pertama kali sejak kemerdekaan, Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan prosiding mahkamah bagi pihak Orang Asli dalam memberikan pengiktirafan tanggungjawab perlembagaan dan perundangan untuk melindungi, serta menggalakkan kesejahteraan dan kemajuan mereka.

610 dibaca
Berita Harian X