Sabtu, 19 Januari 2019 | 12:20pm
Datuk Saifuddin Abdullah dan Dr Vivian Balakrishnan di Singapura, baru-baru ini. - Foto Mohd Azren jamaludin

Komited selesai isu dengan Singapura secara damai, tenang

PUTRAJAYA: Malaysia komited untuk menyelesaikan isu dua hala dengan Singapura secara damai dan tenang.

Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini berkata, usaha diplomatik sedang dijalankan bagi mencari penyelesaian terbaik untuk menyelesaikan isu yang menjadi perhatian antara kedua-dua negara.

“Perkara ini konsisten dengan persefahaman yang dicapai antara Menteri Luar kedua-dua negara yang berlangsung di Singapura pada 8 Januari lalu.

“Ia disusuli pertemuan antara Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan Menteri-Menteri Singapura termasuk Menteri Luar, Dr Vivian Balakrishnan; Menteri Pembangunan Negara dan Menteri Kewangan Kedua, Lawrence Wong serta Menteri Penyelaras dan Infrastruktur dan Menteri Pengangkutan, Khaw Boon Wan dengan semangat untuk meneruskan inisiatif dua hala bagi menangani isu yang menjadi kebimbangan bersama.

“Selain itu, dalam beberapa minggu akan datang, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya Boon Wan bagi membincangkan inisiatif ke hadapan mengenai isu berkaitan ruang udara antara kedua-dua negara termasuk mengenai Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) dan Prosedur Pendekatan ILS untuk Lapangan Terbang Seletar, Singapura,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pertemuan antara Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob dan Setiausaha Tetap Kementerian Luar Negeri Singapura, Chee Wee Kiong dijadual diadakan pada 28 Januari ini.

“Ia untuk membincangkan dan mencari penyelesaian kepada isu maritim Malaysia-Singapura, serta hal perundangan dan operasi yang teratur untuk mengatasi keadaan di lapangan selain menyediakan asas untuk perbincangan lanjut serta rundingan.

“Walaupun kejadian baru-baru ini seolah-olah melemahkan usaha diplomatik yang berterusan antara kedua-dua negara, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah menerima surat dengan nada positif dari Dr Vivian pada pertemuan mereka dalam Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN di Chiang Mai, Thailand pada 17 dan 18 Januari.

“Usaha yang berterusan ini menandakan komitmen teguh Malaysia untuk meneruskan penyelesaian diplomatik untuk isu dua hala dengan Singapura secara damai dan membina atas dasar kesaksamaan dan saling menghormati,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura memaklumkan, Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Menteri bagi Iskandar Malaysia (JMCIM) membabitkan Malaysia-Singapura yang dijadualkan 14 Januari lalu, ditangguhkan apabila mendakwa Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian, menceroboh perairan republik itu.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan semalam menjelaskan pihaknya sudah menghubungi Pejabat Menteri Besar Johor berulang kali bagi menyampaikan pesanan supaya tidak meneruskan lawatan ke pelabuhan Johor Bahru di perairan Malaysia.

Ia merujuk kepada kenyataan Osman, berkenaan lawatan itu, yang mendakwa kebenaran tidak rasmi diperoleh daripada Saifuddin dan timbalannya sebelum lawatan berkenaan pada 9 Januari lalu.

133 dibaca
Berita Harian X