Jumaat, 18 Januari 2019 | 10:46pm
NAIB Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Che Rani Che Din

Wujudkan undang-undang bahan khayal, tindakan wajar

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan untuk mewujudkan rang undang-undang bahan khayal disifatkan sebagai langkah tepat dalam menangani isu ketagihan dadah dalam kalangan remaja.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata masalah ketagihan ini bukan sahaja membabitkan dadah tetapi juga bahan ketagihan lain yang mudah diperoleh seperti gam, petrol, aerosol, cat sembur, cecair pemetik api dan najis lembu.

Katanya, bagi memperkukuhkan akta berkenaan, ia perlu merangkumi tiga asas penting iaitu program pendidikan dan kesedaran, penguatkuasaan undang-undang dan pemulihan.

“Saya harap rang undang-undang berkaitan dapat dibentangkan pada persidangan Parlimen akan datang kerana masalah ketagihan bahan khayal ini sudah berada pada tahap membimbangkan apabila kegiatan ini dilakukan secara terbuka.

“Proses pendidikan untuk meningkatkan kesedaran mengenai bahaya bahan khayal perlu dilaksanakan di semua peringkat, terutama di sekolah dengan sokongan semua pihak termasuk guru dan ibu bapa.

“Tindakan penagih atau ahli keluarga yang menyerah diri secara sukarela juga perlu diberi sokongan kerana timbul kesedaran untuk berubah,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Lam Thye juga berkata, bagi aspek penguatkuasaan pula, akta baharu terbabit perlu memberikan kuasa kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk menahan mereka yang menyalah guna bahan berkenaan kerana sehingga kini masih tiada peruntukan undang-undang sedemikian.

“AADK perlu meningkatkan kerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasaan dan pihak berkepentingan bagi menangani masalah ketagihan bahan khayal ini kerana ia tidak mampu dilakukan secara bersendirian.

“Pihak berkuasa juga perlu mengambil tindakan terhadap sindiket yang cuba membekal dadah kepada golongan terbabit seperti dilaporkan media.

“Proses pemulihan secara menyeluruh dan berkesan juga perlu diwujudkan supaya penagih tidak mengulangi kesalahan serta mampu membuka lembaran kehidupan yang baharu,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang mempengerusikan Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) semalam bersetuju dengan cadangan supaya Akta Bahan Khayal diwujudkan bagi menangani masalah ketagihan bahan khayal dalam kalangan remaja.

Berita Harian X