Jumaat, 18 Januari 2019 | 5:07pm
Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Keputusan wujudkan undang-undang bahan khayal tindakan wajar

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan untuk mewujudkan rang undang-undang bahan khayal disifatkan sebagai bertepatan dalam menangani isu ketagihan dadah dalam kalangan remaja di negara ini.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata masalah ketagihan ini bukan saja membabitkan dadah tetapi juga bahan ketagihan lain yang mudah diperolehi seperti gam, petrol, aerosol, cat sembur, cecair pemetik api dan najis lembu.

Katanya bagi memperkukuhkan lagi akta terbabit ia perlu merangkumi tiga asas penting iaitu program pendidikan dan kesedaran; penguatkuasaan undang-undang dan pemulihan.

“Saya berharap rang undang-undang berkaitan dapat dibentangkan dalam persidangan Parlimen akan datang kerana masalah ketagihan bahan khayal ini sudah berada di tahap membimbangkan apabila kegiatan ini dibuat secara terbuka.

“Proses pendidikan untuk meningkatkan kesedaran mengenai bahaya bahan khayal perlu dilaksanakan di semua peringkat terutamanya di sekolah dengan sokongan semua pihak termasuk guru dan ibu bapa.

“Tindakan penagih atau ahli keluarga yang menyerah diri secara sukarela juga perlu diberi sokongan kerana timbul kesedaran untuk berubah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Selain itu, Lam Thye juga berkata, bagi aspek penguatkuasaan pula, akta baru terbabit perlu memberikan kuasa kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk menahan mereka yang menyalahguna bahan berkenaan kerana sehingga kini masih tiada peruntukan undang-undang sedemikian.

“AADK perlu meningkatkan kerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasaan dan pihak berkepentingan bagi menangani masalah ketagihan bahan khayal ini kerana ia tidak mampu dilakukan secara bersendirian.

“Pihak berkuasa juga perlu mengambil tindakan terhadap sindiket yang cuba membekal dadah kepada golongan terbabit seperti yang dilaporkan oleh pihak media.

“Proses pemulihan secara menyeluruh dan berkesan juga perlu diwujudkan supaya penagih tidak mengulangi kesalahan serta mampu membuka lembaran kehidupan yang baru,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mempengerusikan Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) semalam bersetuju dengan cadangan supaya Akta Bahan Khayal diwujudkan bagi menangani masalah ketagihan bahan khayal atau inhalan seperti gam dalam kalangan remaja.

119 dibaca
Berita Harian X