Khamis, 17 Januari 2019 | 6:43pm
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mengunjungi restoran D'Wafi, Indera Mahkota untuk bersarapan dan berbual bersama orang ramai yang berada di restoran itu pagi tadi. Difahamkan baginda sering mengunjungi restoran itu untuk bersarapan sebaik selesai solat Subuh di Masjid Imam Ash Shafie, Kota SAS. - Foto ihsan Istana

Telur separuh masak, roti canai sarapan pilihan Al-Sultan Abdullah

KUANTAN: Pemasyhuran sebagai Sultan Pahang keenam sejak Sabtu lalu tidak sedikit pun mengubah keperibadian Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, untuk bersama rakyatnya.

Ia terbukti apabila Al-Sultan Abdullah dan isteri, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, masih mengunjungi restoran D’Wafi di Indera Mahkota untuk bersarapan dan berbual bersama pengunjung.

Difahamkan, baginda sering mengunjungi restoran itu untuk bersarapan sebaik selesai solat Subuh di Masjid Imam Ash Shafie, Kota SAS, di sini sejak menjadi Tengku Mahkota Pahang.

Al-Sultan Abdullah juga menggemari telur separuh masak dan ia seperti menu yang mesti dinikmatinya setiap kali bersarapan di restoran itu, di samping beberapa hidangan lain seperti roti canai.

Kelaziman itu diteruskan baginda dan isteri apabila berkenan berangkat ke restoran itu selepas menunaikan solat Subuh di Masjid Imam Ash Shafie, di sini, pagi tadi.


Al-Sultan Abdullah memasak roti canai ketika sarapan bersama penduduk setempat di Restoran D'Wafi, Taman Mahkota Putra. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Baginda yang tiba di restoran berkenaan pada jam 6.35 pagi meluangkan masa satu jam bersarapan menu kegemaran baginda iaitu telur separuh masak, nasi lemak dan roti canai.

Roti canai telur dilihat menjadi menu pilihan Tunku Azizah untuk disantap sebelum pasangan diraja itu meluangkan masa berbual dengan orang ramai yang berada di restoran itu.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah bersama isteri berangkat ke masjid berkenaan pada jam 6 pagi, bagi menunaikan solat sunat yang kemudian disusuli solat Subuh.

Baginda turut meluangkan masa beberapa minit mengaji al-Quran sebelum berangkat ke kedai D’ Wafi untuk bersarapan.

5244 dibaca
Berita Harian X