Khamis, 17 Januari 2019 | 5:00pm
KETUA Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Seri Aziz Abdullah (dua dari kiri) beramah mesra dengan orang ramai pada majlis perasmian Seminar Vendor E22 2019 di Johor bahru, hari ini. - Foto Zain Ahmed

Pekerja lebuh raya kena ada pasport keselamatan

JOHOR BAHRU: Semua 29 syarikat konsesi lebuh raya diminta mewajibkan semua pekerja dan kontraktor penyelenggaraan serta pembinaan lebuh raya memiliki Pasport Keselamatan Operasi Lebuhraya (EOSP), bagi memastikan mereka mengikuti prosedur keselamatan.

Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Seri Aziz Abdullah, berkata EOSP itu boleh disamakan seperti Kad Hijau Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) yang diperlukan oleh pekerja dalam industri pembinaan.

Katanya, setakat ini kakitangan dan kontraktor penyelenggaraan serta pembinaan lebuh raya milik PLUS Malaysia Berhad (PLUS) sudah diwajibkan mempunyai EOSP, dan terbaru Senai-Desaru Expressway Berhad (SDEB) turut berbuat demikian.

“Kita dalam perancangan untuk semua pekerja pada masa akan datang mesti ada EOSP kerana melihat keselamatan sebagai isu besar di sepanjang lebuh raya.

“Ia tidak hanya membabitkan kerja vendor yang terbabit dalam kerja penyelenggaraan dan operasi, tetapi pengguna juga.

“Sekarang kita tengok di SDEB tidak banyak kemalangan sebab laluan trafik tak banyak berbanding PLUS yang ada kemalangan setiap hari, bukan setiap hari (tetapi) setiap jam. Kemalangan membabitkan pekerja dan pengguna lebuh raya, berkaitan kerja di lebuh raya.

“Kita harap semua syarikat konsesi akan datang dalam tempoh masa tiga tahun, semua pekerja lebuh raya ada pasport keselamatan. Kalau bekerja di industri pembinaan, kena ada kad hijau, kita ambil pendekatan, lebuh raya juga ada ada pasport keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Vendor E22 2019, di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SDEB, Jamal Abd Nasir, berkata SDE akan melaksanakan EOSP yang akan diguna pakai dalam setiap kontrak kerja kejuruteraan awam, mekanikal dan elektrikal di Lebuhraya E22 dalam tempoh tiga tahun bermula tahun ini.

Katanya, pada tahun 2022, setiap kontraktor yang ingin menyertai tender dan sebut harga bagi kerja kejuruteraan awam, disyaratkan memiliki EOSP yang diiktiraf Institut Keselamatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH).

“Pelaksanaan EOSP ini menunjukkan bahawa SDEB menitikberatkan semua kontraktor dan vendor untuk mematuhi segala peraturan keselamatan yang ditetapkan dalam garis panduan kerja,” katanya.

Berita Harian X