Khamis, 17 Januari 2019 | 4:16pm
MENTERI Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar hadir pada majlis perasmian penyerahan projek Modul 3 (SEN330) Loji Rawatan Kumbahan Serantau Kuala Sawah kepada Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) di Seremban, hari ini. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Jana elektrik dengan sisa buangan bio-pepejal

SEREMBAN: Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli komited melaksanakan pelan induk teknologi hijau dengan mengitar semula sebahagian sisa buangan bio-pepejal negara.

Menterinya, Dr Xavier Jayakumar, berkata melalui pelan itu, sisa buangan akan dikitar semula bagi menjana tenaga elektrik melalui ‘biomass conversion’.

“Teknologi itu sudah ada di sini. Malah, ia juga dapat menjana tenaga elektrik berdasarkan jumlah air yang dipam keluar dari sistem. Tekanan daripada air yang mengalir di dalam sungai itu seterusnya bertukar menjadi tenaga elektrik.

“Kita juga akan mencari kaedah ke arah mengitar semula satu pertiga daripada air kumbahan yang dirawat untuk diguna semula menjelang 2030.

“Bukan sahaja untuk menjana elektrik, malah hasil kitar semula ini juga boleh digunakan sebagai baja untuk tanaman, selain kegunaan perindustrian,” katanya pada sidang media selepas merasmikan penyerahan projek Modul 3 (SEN330) Loji Rawatan Kumbahan Serantau Kuala Sawah kepada Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Zurinah Pawanteh; Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago dan Ketua Pegawai Eksekutif Indah Water Konsurtium Sdn Bhd, Faizal Othman.

Projek yang dimulakan pada April 2016 dan siap tiga bulan lebih awal dari jangkaan itu dibiayai sepenuhnya menggunakan dana Kumpulan Wang Sumbangan Modal Pembetungan (KWSMP) membabitkan kos sebanyak RM80.4 juta.

Loji baharu itu dapat menampung aliran air kumbahan sehingga 360,000 penduduk setara (PE), berbanding hanya 250,000 PE pada 2016.

Kerja menaikkan kapasiti loji dengan efluen standard A itu juga dapat menampung aliran kumbahan loji sehingga 2025.

Selain projek di Kuala Sawah, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli melalui SPAN turut menyelia projek pembinaan rangkai paip pembetungan di Sirusa, Port Dickson yang dijangka siap Mei ini.

Berita Harian X