Rabu, 16 Januari 2019 | 6:56pm
SAIFUDDIN Nasution Ismail. - BERNAMA

Perang mulut bukan jalan penyelesaian isu Malaysia-Singapura

PUTRAJAYA: Sebarang masalah yang timbul dengan negara jiran termasuk Singapura perlu diselesaikan melalui saluran diplomatik, yang terbukti selama ini mampu menyelesaikan banyak perkara.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata isu diplomatik tidak boleh diuruskan secara perang mulut oleh kepemimpinan atasan negara, yang bukan menyelesaikan masalah, malah mungkin memburukkan lagi keadaan dan hubungan antara kedua-dua negara.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKK), berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi PKR Johor, Hassan Abdul Karim, yang kesal dengan sikap berdiam diri pemimpin Persekutuan dan negeri yang tidak mempertahankan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian, daripada tuduhan menceroboh perairan Singapura.

Saifuddin berkata Hassan mempunyai hak memberikan pandangannya dan beliau tidak akan menyatakan persetujuan mengenai pandangan itu atau sebaliknya.

“Singapura adalah jiran terdekat kita dan dalam sejarah kita berjiran, ada banyak pasang surutnya. Kita ada sejumlah isu membabitkan kedua-dua negara, antaranya isu tanah Keretapi Tanah Melayu (KTM), pencerobohan ruang udara, jaminan bekalan air, Tambak Johor, jambatan bengkok dan terkini, isu maritim.

“Saya percaya saluran yang terbaik adalah diplomatik dan saluran itulah yang digunakan oleh rakan saya, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, yang sudah menemui rakan sejawatnya dari Singapura dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang bertemu beberapa menteri di Singapura, minggu lalu.

“Beberapa isu sebelum ini, contohnya tanah KTM selepas sekian lama dapat dimuktamadkan dan ia bukan soal menguntungkan mana-mana pihak. Begitu juga isu lain yang dapat diselesaikan melalui perbincangan, bukan dengan membuat kenyataan terbuka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Tugas Ketua Setiausaha KPDNHEP di sini, semalam.

Kelmarin, Hassan berkata, beliau sedih dengan sikap membisu pemimpin Kerajaan Persekutuan sama ada Perdana Menteri, Menteri Luar atau Menteri Pertahanan, malah timbalan menteri yang membenarkan menteri Singapura termasuk Menteri Pertahanan Singapura ‘membelasah’ Osman yang dituduh menceroboh masuk ke perairan negara itu.

Sebelum ini, sebuah portal berita Singapura melaporkan lima kapal Malaysia didakwa memasuki perairan Tuas, Singapura.

Portal berkenaan turut menyiarkan beberapa gambar ihsan daripada Pasukan Polis Singapura yang memaparkan rombongan Osman ketika membuat lawatan ke aset Jabatan Laut, MV Pedoman.

Bagaimanapun, Osman menafikan dakwaan laporan portal berita itu dan yakin rombongannya ketika mengadakan lawatan itu masih berada di dalam perairan negara kerana pasukan yang bertugas untuk mengendalikan kapal itu adalah daripada mereka yang arif mengenai persempadanan maritim.

319 dibaca
Berita Harian X